Penyusuan

Penyusuan (Jawi: ڤڽوسوان ) atau laktasi (Jawi: لكتاسي) ialah perembesan susu daripada kelenjar mamari dan tempoh masa seseorang ibu mengeluarkan susu untuk menyusui anaknya. Proses ini dialami secara semula jadi oleh semua mamalia betina selepas kehamilan, sungguhpun proses tersebut telah wujud sebelum kewujudan mamalia. Dalam spesies manusia, proses pemberian susu juga disebut sebagai penyusuan susu ibu. Bayi yang baru lahir juga kerap menghasilkan sedikit susu daripada tisu payudara mereka sendiri, yang dikenali sebagai susu neonatal.

Dalam kebanyakan spesies, pengeluaran susu merupakan tanda bahawa individu tersebut pernah hamil pada suatu ketika dalam kehidupannya, kecuali manusia dan kambing. Hampir setiap spesies mamalia mempunyai puting bagi mengeluarkan susu; kecuali monotreme iaitu mamalia bertelur dan tidak beruri, yang mengeluarkan susu melalui duktus di dalam abdomen mereka. Hanya satu spesies mamalia sahaja yang jantina jantan dapat menghasilkan susu sebagai fungsi normal selain betina iaitu kelawar buah Dayak dari Asia Tenggara.

Galaktopoiesis ialah pengekalan penghasilan susu. Peringkat ini memerlukan prolaktin (PRL). Oksitosin pula sangat penting untuk refleks let-down susu sebagai tindak balas kepada penghisapan puting. Galaktorea ialah penghasilan susu yang tidak berkaitan dengan penyusuan susu ibu. Keadaan ini boleh berlaku pada jantan dan betina dalam kebanyakan spesies mamalia akibat ketidakseimbangan hormon seperti hiperprolaktinaemia atau rangsangan fisiologi yang abnormal.