Pendidikan jasmani
Pendidikan jasmani (Jawi: ڤنديديقن جسماني ) yang selalunya diringkaskan sebagai PJ dan kadangkala dengan tidak rasmi dirujuk sebagai kelas gim atau ringkasnya gim di negara-negara Barat, ia adalah mata pelajaran yang diajar di sekolah-sekolah di seluruh dunia. PJ diajar semasa pendidikan rendah dan menengah dan ia menggalakkan pembelajaran psikomotor, kognitif dan efektif melalui aktiviti fizikal dan penerokaan pergerakan untuk meningkatkan kesihatan dan kecergasan fizikal. Apabila diajar dengan betul dan positif, kanak-kanak dan remaja yang diajar boleh menerima banyak manfaat kesihatan. Ini adalah termasuk pengurangan risiko penyakit metabolik, peningkatan kecergasan kardiorespirasi, dan kesihatan mental yang lebih baik. Tambahan pula, kelas PJ boleh menghasilkan kesan positif terhadap tingkah laku dan prestasi akademik pelajar. Kajian telah menunjukkan bahawa terdapat perkaitan positif antara perkembangan otak dan senaman. Penyelidik pada tahun 2007 mendapati peningkatan yang ketara dalam skor ujian standard Seni Bahasa Inggeris oleh kalangan pelajar yang mengikuti 56 jam pendidikan jasmani dalam setahun, berbanding dengan mereka yang mengikuti 28 jam pendidikan jasmani setahun.
Banyak program pendidikan jasmani juga memasukkan pendidikan kesihatan sebagai sebahagian daripada kurikulum. Pendidikan kesihatan ialah pengajaran maklumat mengenai pencegahan, pengawalan, dan rawatan bagi penyakit.