Pencetakan
Pencetakan merupakan proses penghasilan semula teks dan imej yang lazimnya dilakukan dengan menggunakan mesin cetak yang mengenakan dakwat ke atas kertas. Pencetakan lazimnya dijalankan sebagai proses industri besar-besaran serta merupakan bahagian penting dalam bidang penerbitan dan persuratan urus niaga.
Bentuk pencetakan yang terawal ialah pencetakan bongkah kayu dengan wujudnya contoh-contoh dari negara China bertarikh sebelum tahun 220 M dan juga Mesir sekitar abad keempat. Antara perkembangan lanjut dalam pencetakan termasuklah taip cerai yang dicipta oleh Bi Sheng di China, serta mesin cetak yang lebih cekap untuk bahasa-bahasa barat yang hurufnya lebih terhad. Pencetakan surat buku Melayu diperluaskan oleh William Milne dari Persatuan Mubaligh London yang mengajarkan cara menggunakan mesin cetak batu kepada Munsyi Abdullah di Melaka pada tahun 1817.