Pemerintahan beraja Kanada
| Raja Kanada | |
|---|---|
| King of Canada (bahasa Inggeris) Roi du Canada (Perancis) | |
Persekutuan | |
Jata diraja Kanada | |
| Penjawat kini | |
| Charles III sejak 8 September 2022 | |
| Butiran | |
| Gelaran | Kebawah Duli Yang Maha Mulia |
| Pewaris takhta | William, Duke Cambridge |
| Penyandang pertama | Victoria |
| Pembentukan | 1 Julai 1867 |
| Persemayaman | Rideau Hall, Ottawa La Citadelle, Bandaraya Quebec |
| Laman sesawang | canadiancrown |
Pemerintahan beraja Kanada atau monarki Kanada (Bahasa Inggeris: Monarchy of Canada; Bahasa Perancis: Monarchie canadienne) ialah teras bagi kedua-dua struktur persekutuan Kanada serta demokrasi parlimen dan perlembagaan yang berdasarkan sistem Westminster. Ia adalah asas kepada cabang-cabang eksekutif (Raja-dalam-Majlis), perundangan (Raja-dalam-Parlimen) dan kehakiman di dalam bidang kuasa persekutuan dan provinsi. Raja terkini Kanada ialah Baginda Raja Charles III, yang telah memerintah sejak 8 September 2022. Anakanda sulung baginda Putera William merupakan pewaris seterusnya.
Walaupun baginda Raja dikongsi secara bersama dengan 15 negara merdeka yang lain di dalam kalangan negara Komanwel, setiap pemerintahan beraja di negara tersebut adalah berasingan dan secara undang-undangnya berbeza. Hasilnya, baginda secara rasminya digelar sebagai Raja Kanada (atau Ratu Kanada) dan dalam kapasiti ini, baginda, suaminya dan ahli kerabat diraja Kanada yang lain menjalankan fungsi-fungsi awam dan persendirian di dalam dan luar negara sebagai wakil Kanada. Walau bagaimanapun, Raja adalah satu-satunya ahli kerabat yang mempunyai peranan dalam perlembagaan. Walaupun sesetengah bidang kuasa hanya boleh dijalankan oleh baginda (seperti melantik gabenor jeneral), kebanyakan tugas-tugas upacara dan istiadat (seperti memanggil Dewan Rakyat dan melantik duta) dijalankan oleh wakil baginda, Gabenor Jeneral Kanada. Wakil Raja bagi setiap provinsi diwakili oleh leftenan gabenor. Disebabkan wilayah berada di bawah bidang kuasa persekutuan, setiap daripadanya mempunyai pesuruhjaya, yang mewakili Mahkota-dalam-Majlis secara terus.