Pembentukan dan evolusi galaksi

Dalam kosmologi, kajian pembentukan dan evolusi galaksi (Jawi: ڤمبنتوقن دان ايۏولوسي ڬالكسي) tertumpu kepada proses-proses yang membentuk alam semesta yang heterogen daripada asal-usul yang homogen, pembentukan galaksi pertama, cara galaksi berubah sepanjang masa, serta proses yang telah menghasilkan pelbagai struktur yang diperhatikan dalam galaksi-galaksi berdekatan. Pembentukan galaksi dipercayai berlaku daripada teori pembentukan struktur, yang berpunca daripada turun naik kuantum kecil selepas Letupan Besar. Model yang paling mudah dan secara umum selaras dengan fenomena yang diperhatikan adalah model Lambda-CDM, iaitu pengelompokan dan penggabungan membolehkan galaksi mengumpul jisim, yang menentukan bentuk dan strukturnya. Simulasi hidrodinamik, yang mensimulasikan kedua-dua barion dan jirim gelap, digunakan secara meluas untuk mengkaji pembentukan dan evolusi galaksi.