Pak Kadok

Pak Kadok atau juga Pak Kaduk merupakan salah satu bentuk Sastera Rakyat Melayu. Dia terkenal sebagai seorang lelaki yang mempunyai sifat lurus bendul. Dia mempunyai seorang isteri yang terpaksa menahan segala perbuatan lurusnya. Kisah Pak Kadok yang menimpa diri dan keluarganya amat terkenal dalam kebanyakan masyarakat Melayu di Malaysia sehinggakan banyak sekali perbandingan sifat orang yang lurus bendul disabitkan dengan Pak Kadok.

Cerita Pak Kadok telah dimasukkan ke dalam buku bertajuk "Cherita Jenaka" oleh Sir R. O. Winstedt dan A. J. Sturrock pada tahun 1908, sebagai Pa' Kadok, bersama beberapa cerita rakyat popular yang lain seperti Pa' Pandir, Lebai Malang, Pa' Belalang dan Si-Lunchai. Cetakan ini diulang cetak sebanyak beberapa kali dengan edisi ketiga pada tahun 1914 dengan 159 halaman.