Orang Laut

Orang Laut
Sekumpulan Orang Laut Seletar.
Bahasa
Bahasa Melayu (dialek Orang Laut)
Agama
Islam
Kumpulan etnik berkaitan
Melayu

Orang Laut ialah kumpulan etnik yang mendiami persisiran pantai dan pulau-pulau luar pesisir di selatan Semenanjung Malaysia, timur pulau Sumatera, serta wilayah Kepulauan Riau, Batam, Pulau Tujuh dan Singapura. Mereka diiktiraf sebagai penduduk asli perairan dan daratan pesisir selatan Semenanjung Malaysia, Singapura dan timur Sumatera.

Orang Laut dikategorikan sebagai Melayu Proto, dengan latar genetik dan budaya yang sama dengan etnik Melayu. Mereka bertutur dalam dialek Melayu yang tersendiri, mencerminkan hubungan rapat dengan masyarakat Melayu di daratan, dan secara tradisional menjalani kehidupan nomad di laut melalui penangkapan ikan serta pengumpulan hasil laut.

Orang Laut memainkan peranan penting dalam pembentukan tamadun Melayu, khususnya sebagai penjaga laut dan penyokong kesultanan Melayu seperti Srivijaya, Melaka dan Johor–Riau. Kesetiaan mereka kepada raja-raja Melayu, termasuk Parameswara, menonjolkan ciri kemelayuan mereka sebagai pelindung wilayah maritim yang menyokong perdagangan dan kekuasaan Melayu di Nusantara. Walaupun hidup secara nomad di atas sampan panjang, mereka telah berasimilasi secara mendalam ke dalam masyarakat Melayu melalui perkahwinan campur, pemelukan Islam dan pengambilan adat istiadat Melayu, menyebabkan ramai keturunan mereka kini mengenal pasti diri sepenuhnya sebagai Melayu.