Neurotoksin

Istilah neurotoksin ("racun saraf"; daripada Yunani neuron "saraf" + Latin toxicum "racun") merupakan sejenis serangan kimia eksogen terhadap sistem saraf yang boleh menjejaskan fungsi tisu saraf yang berkembang mahupun matang. Istilah ini juga digunakan untuk menggolongkan sebatian endogen yang boleh meracuni saraf apabila disebatikan secara luar biasa. Biarpun neurotoksin boleh memusnahkan saraf, namun yang penting dalam mengaji sistem saraf adalah keupayaaan neurotoksin untuk menyasar komponen saraf secara khususnya. Antara contoh am neurotoksin adalah plumbum, etanol, glutamat, nitrik oksida (NO), toksin botulinum, toksin tetanus, dan tetrodotoksin.

Kegiatan neurotoksin boleh disifatkan dengan kebolehan untuk menambat kawalan neuron terhadap kepekatan ion di seluruh membran sel atau perhubungan sesama neuron di seluruh sinaps. Patologi pendedahan setempat kepada neurotoksin lazimnya merangkumi ketoksikan rangsangan neuron atau apoptosis bahkan juga kerosakan sel glia. Manifestasi makroskopik pendedahan kepada neurotoksin boleh termasuk kerosakan seluruh sistem saraf pusat seperti kerencatan otak, gangguan ingatan berlarutan, sawan, dan demensia. Selain itu, sering berlakunya kerosakan neurotoksin terhadap sistem sarah periferi seperti neuropati atau miopati. Disarankannya beberapa cara untuk merawat kecederaan akibat neurotoksin seperti suntikan antioksidan, antitoksin dan etanol.