Murut
| Jumlah penduduk | |
|---|---|
| 190,000 | |
| Kawasan ramai penduduk | |
| Malaysia Sabah termasuk Labuan: 120,631 (2020) Sarawak: 10,500 (1980) Indonesia Kalimantan:57 513 (2015), Brunei Temburong | |
| Bahasa | |
| Bahasa Murut, Bahasa Melayu Bahasa Indonesia | |
| Agama | |
| Kristian (80%), Islam (18%), Animism | |
| Kumpulan etnik berkaitan | |
| Dayak, Tidung, Kelabit, Kayan, Kenyah, Melanau, Lun Bawang, Bidayuh, Penan, Punan, Ida'an, Kadazandusun, Orang Ulu |
Kaum Murut menetap di pedalaman dan kawasan tenggara Sabah serta wilayah perbatasan antara Kalimantan dan Sarawak. Suku kaum Murut adalah suku kaum ketiga terbesar di Sabah.
Kaum Murut merupakan salah satu kumpulan etnik yang tinggal di Sabah dan Sarawak. Secara tradisional, mereka mendiami rumah panjang berhampiran sungai atau membina penempatan di sepanjang sungai, yang biasanya menempatkan antara 10 hingga 20 keluarga. Sebahagian daripada kaum ini juga tinggal secara individu di kawasan berhampiran sungai. Kaum Murut dikenali dengan kemahiran dalam pembuatan perahu dan kemahiran ini diwariskan kepada generasi seterusnya. Mereka juga mahir dalam aktiviti memburu serta pernah mengamalkan tradisi bertatu, meskipun amalan tersebut semakin berkurangan dalam kalangan generasi muda.
Tempat tinggal mereka termasuk Tenom, Kemabong, Pensiangan, Tawau (Merotai dan Kalabakan), Tongod (Pinangah dan Inarad) dan Keningau. Dahulu mereka tinggal di dalam rumah panjang dan hidup harmoni dalam keluarga besar. Kebanyakan mereka adalah petani berpindah, memburu dan menangkap ikan di sungai. Mereka juga menjalani kehidupan dengan memungut hasil hutan seperti(damar, rotan dan madu lebah).Pada masa kini kaum murut sudah ada yang bekerja di perkhidmatan dalam sektor awam dalam bidang pendidikan, kesihatan dan pertahanan.
Perkataan ‘Murut’ merujuk kepada kumpulan penduduk yang tinggal di lereng bukit atau tanah tinggi di Pedalaman Sabah. Murut terdapat di beberapa kawasan seperti Keningau, Tenom, Pensiangan, Sipitang, Kalabakan, Beaufort dan Kinabatangan. Kaum Murut terbahagi kepada Murut Tahol atau Tagal, Tidung atau Tirong, Timugon, Sembakung, Paluan, Bookan, Kalabakan, Murut Serundung, Murut Agabag atau Ahavah,Tanggara atau Tanggala, Kolor atau Kolod atau Akolod, Murut Nabai, Murut Gana atau Hana dan Murut Lundayeh/ Lun Bawang. Dimana kaum Murut mewakili sebanyak 2.9% daripada penduduk di Sabah iaitu lebih kurang 120,000 orang. Suku kaum Murut juga terdapat di Brunei, Sarawak dan sempadan Kalimantan. Kaum Murut mempunyai bahasa tersendiri yang berbeza dengan suku kaum Murut yang lain seperti Lun Bawang/Lun Dayeh. Ini disebabkan faktor geografi sebagai penghalang dalam komunikasi bahasa mereka.
Kaum Murut turut menyambut beberapa perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Krismas, Tahun Baharu, majlis perkahwinan, pengebumian, serta Pesta Kalimaran, iaitu perayaan menuai padi yang serupa dengan Pesta Kaamatan bagi kaum Kadazan-Dusun. Dalam era moden, masyarakat Murut telah mengalami proses pemodenan dengan ramai bekerja dalam sektor kerajaan, swasta, serta tinggal di kawasan bandar. Walaupun begitu, adat resam dan tradisi nenek moyang masih diamalkan dalam kehidupan seharian.