Mata majmuk
Mata majmuk merupakan organ penglihatan yang terdapat pada haiwan-haiwan artropod seperti serangga dan krustasea. Ia boleh terdiri daripada ribuan butir omatidium, iaitu unit-unit fotoresepsi (penerimaan cahaya) halus berasingan yang terdiri daripada kornea, kanta, dan sel-sel fotoreseptor yang membezakan kecerahan dan warna. Imej yang dicerap oleh mata artropod ini adalah kombinasi input-input dari berbilang omatidium yang dihalakan ke arah-arah yang sedikit berbeza dengan satu sama lain. Mata majmuk mempunyai peleraian imej yang rendah jika dibandingkan dengan mata satu bukaan, tetapi memiliki sudut pandangan yang amat luas serta keupayaan mengesan pergerakan pantas dan mungkin juga pengutuban cahaya. Oleh sebab mata majmuk terdiri daripada himpunan ribuan omatidium yang setiap satunya mempunyai kanta sendiri, maka cahaya tidak akan memasuki salur kemasukan tunggal, tetapi sebaliknya akan memasuki satu demi satu omatidium. Kemudian, penerima cahaya individu di sebalik setiap kanta terbuka tutup disebabkan keamatan cahaya yang berubah-ubah ketika pergerakan atau apabila objek bergerak, menyebabkan kesan liukan yang dikenali sebagai 'kekerapan liukan', iaitu kadar tutup buka omatidium, dan ini memudahkan tindak balas lebih cepat terhadap pergerakan; misalnya, lebah madu bertindak dalam 0.01s berbanding dengan 0.05s untuk manusia.