Manga

Manga (disebut [man.ga]; Jepun: 漫画 manga) ialah karya cerita turutan bergambar termasuk komik dan novel grafik yang dihasilkan di Jepun. Cerita-cerita ini mencakupi pelbagai genre antaranya aksi, pengembaraan, komedi, detektif, drama, sejarah, seram ghaib, misteri, romantis, sains dan fantasi, erotika, sukan, serta debaran; karya-karya ini menjadi bacaan pilihan semua lapisan umum masyarakat Jepun. Seni ini muncul pada lewat abad ke-19 berdasarkan tradisi-tradisi seni yang ada diwujudkan dalam Jepun sejak berkurun-kurun.

Cerita dalam sesebuah manga dikaryakan seorang pengilustrasi dan/atau penulis (mangaka) yang dibantu beberapa kakitangan dalam sebuah studio kecil serta sering berhubung dengan editor kreatif dari sesebuah syarikat penerbit komersial. Karya ini biasanya dicetak secara hitam putih secara bersiri dalam suatu majalah himpunan bersama karya-karya lain; majalah-majalah ini memuatkan satu bab setiap karya yang berkesinambungan dalam isu berikutnya. Kesemua bab-bab ini dihimpunkan dalam suatu jilid terbitan semula khas (tankōbon) mahupun dibukukan. Jika siri manga yang dikaryakan ini menjadi cukup popular, karya tersebut boleh diberi peluang diadaptasi kepada medium lain sama ada dalam bentuk animasi (baik dalam format siri televisyen atau filem) mahupun dijadikan suatu filem aksi langsung baik setelah ceritanya tamat mahupun ketika cerita asalnya masih berlanjutam.

Karya-karya ini sangat masyhur dengan khalayak peminat cukup signifikan di seluruh dunia sehingga sering diterjemahkan ke dalam banyak bahasa. Sejak tahun 1950-an, manga telah menjadi sebahagian utama industri penerbitan Jepun. Pada tahun 1995, pasaran manga di Jepun bernilai ¥586.4 bilion (kira-kira US$6 – 7 bilion), dengan jualan tahunan sekitar 1.9 bilion untuk manga dan majalah di Jepun (setara dengan 15 edisi seorang). Pada tahun 2008, pasaran manga di Amerika Syarikat dan Kanada mencecah nilai setinggi $175 juta. Pasaran manga di Perancis pula mencecah angka 38% dalam pasaran komik negara tersebut (sekitar sepuluh kali lipat dari angka untuk Amerika Syarikat). dengan nilai sekitar €460 juta ($640 juta) pada tahun 2005. Di Eropah dan Timur Tengah, pasaran manga bernilai sekitar $250 juta pada tahun 2012.