Maktab Rendah Sains MARA
| Maktab Rendah Sains MARA MRSM | |
|---|---|
| Lokasi | |
| Malaysia | |
| Maklumat | |
| Jenis | Pendidikan menengah |
| Moto | Berdisplin, Berilmu, Beramal |
| Ditubuhkan | Februari 1972 |
| Gred | Tingkatan 1 - 5 |
| Bahasa pengantar | Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, |
| Kampus | 57 |
| Warna | Merah tua, biru, kuning |
| Alumni | ANSARA (Anak Sains MARA) |
Maktab Rendah Sains MARA (singkatan: MRSM, kadang-kala dikenali juga sebagai MARESMA), atau MARA Junior Science College (MJSC) dalam Bahasa Inggeris merupakan sekumpulan sekolah berasrama penuh yang dikelolakan Majlis Amanah Rakyat (MARA). MRSM merupakan institusi pendidikan di Malaysia yang menyediakan pendidikan menengah kepada pelajar-pelajar warganegara Malaysia bermula tingkatan satu sehingga tingkatan lima. Sehingga tahun 2022, terdapat sebanyak 57 buah MRSM yang sedang beroperasi di seluruh Malaysia, di mana kesemua MRSM ini menawarkan program pendidikan SPMRSM yang menggabungkan kurikulum standard Kementerian Pendidikan Malaysia dan kurikulum khas MARA. Pelajar-pelajar MRSM menduduki peperiksaan utama seperti Ujian PT3 bagi pelajar tingkatan tiga dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi pelajar tingkatan lima.
Maktab Rendah Sains MARA telah ditubuhkan di bawah Akta Majlis Amanah Rakyat Bil. 20 Tahun 1966 sebagai satu usaha untuk mencapai matlamat MARA dalam bidang latihan dan pendidikan. Cadangan penubuhan institusi MRSM ini timbul seawal tahun 1968, bagi melahirkan golongan bumiputera yang pakar dalam bidang sains dan teknologi. Sehingga tahun 2022, seramai 194,000 orang pelajar telah mengikuti sistem pendidikan MRSM sejak ianya mula dilancarkan secara rasmi pada tahun 1972.
Pada tahun 2002, MARA mengubah polisi kemasukan pelajar dengan menyediakan kuota sebanyak 10% diberikan kepada pelajar bukan Bumiputera. Bermula tahun 2020, nisbah pelajar bumiputera dan bukan bumiputera di MRSM adalah 95% bumiputera dan 5% bukan bumiputera.
Pada tahun 2022, MRSM menyambut sambutan Jubli Emas ulangtahun penubuhannya yang ke-50.