Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu
Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu (KBPM) merupakan suatu majlis yang menghimpunkan ahli-ahli kongres yang terdiri dari para penulis, peminat sastera, pencinta bahasa dan budaya Melayu serta para cendekiawan Melayu yang mewakili badan bahasa dan persuratan Melayu dari seluruh negara Malaysia. Kongres ini juga akan mengeluarkan keputusan-keputusan yang mendapat persetujuan dari ahli-ahli kongres menerusi cabutan undian, dimana keputusan-keputusan yang dicapai merupakan hasrat sebenar ahli kongres dalam mengembalikan hak-hak keutamaan bahasa dan persuratan Melayu sebagai agenda utama pemartaban bahasa rasmi di Malaysia.
Setakat ini kira-kira 9 sidang kongres telah dilaksanakan di pelbagai tempat iaitu:
- Kongres KBPM pertama: 12-13 April 1952 di Hotel Sea View, Singapura.
- Kongres KBPM kedua: 1-2 Januari 1954 di Sekolah King George V, Seremban, Negeri Sembilan.
- Kongres KBPM ketiga: 16-21 September 1956 di Johor Bahru dan Singapura.
- Kongres KBPM keempat: 7 hingga 10 Disember 1984 di DBP, Kuala Lumpur.
- Kongres KBPM kelima: 2 Mei 1998 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
- Kongres KBPM keenam di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, Perak pada tahun 2002.
- Kongres KBPM ketujuh pada 6-8 November 2006 bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir (dahulunya Balai Budaya) di DBP, Kuala Lumpur.
- Kongres KBPM kelapan berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 28-30 Oktober 2011
Berikut adalah sorotan ketetapan yang dipersetujui sepanjang sejarah pemantapan bahasa Melayu di Persekutuan Tanah Melayu yang dibuat oleh kongres. Pelbagai ketetapan demi ketetapan dalam memperkukuhkan nilai bahasa dan persuratan Melayu telah dicanang oleh kongres namun, perubahan setimpal dilihat agak sukar direalisasikan atas pelbagai faktor yang menyebabkan pendaulatan bahasa dan persuratan Melayu di bumi Malaysia acap kali gagal terlaksana.