Kenaikan aras laut
Pengukuran air pasang surut menunjukkan bahawa kenaikan aras laut bermula sejak permulaan abad ke-20. Dari 1900 ke 2017, aras laut purata Bumi meningkat sebanyak 16–21 cm (6 1⁄2–8 1⁄2 in). Data dari pengukuran radar satelit pula menujukkan kenaikan pantas sebanyak 7.5 cm (3 in) dari 1993 ke 2017, dengan purata kenaikan sebanyak 31 mm (1 1⁄4 in) sedekat. Kepantasan ini berlaku secara umumnya akibat perubahan iklim, termasuk pemanasan laut dan pencairan kepingan ais dan glasier. Antara 1993 dan 2018, pengembangan haba air membawa kepada 42% kenaikan aras laut; pencairan glasier sederhana pula 21%, Greenland pula 15%, dan pencairan Antartika pula 8%. Saintis iklim menjangka kepantasan kenaikan akan meningkat pada abad ke-21, dengan ukuran terkini menetapkan kadar kenaikan pada 3.6 mm setahun.
Peramalan kenaikan aras laut mendatang adalah sukar akibat kerumitan aspek-aspek sistem iklim serta pemasaan perkaitan perubahan suhu Bumi dengan ketinggian aras. Pada 2007, Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim menjangka kenaikan maksimum 60 cm (2 ka) pada 2099, tetapi menaikkan nilai itu kepada 90 cm (3 ka) pada 2014. Sebilangan kajian lanjut mengesahkan kenaikan sebanyak 200–270 cm (6 ka 7 in–8 ka 10 in) pada abad ini dapat diterima akal. Suatu ramalan jangkaan masa panjang ialah setiap kenaikan suhu Bumi sebanyak satu darjah Celsius membawa kepada kenaikan aras laut sebanyak 2.3 meter sepanjang dua alaf (2,000 tahun): suatu contoh inersia iklim. Pada Februari 2021, suatu kajian terbitan Ocean Science berpendapat bahawa ramalan Panel lebih berkemungkinan bersifat konservatif, bererti bahawa aras laut akan menaik lebih tinggi daripada ramalan.
Walaupun begitu, aras laut tidak meningkat secara sekata di seluruh Bumi, malah menjadi lebih rendah di sesetengah tempat seperti di Artik. Faktor-faktor naik turun aras laut di satu kawasan termasuk kesan tektonik serta penenggelaman tanah, pasang surut dan ribut. Kawasan kepulauan dan pesisir menerima tempias paling ketara berikutan kenaikan aras laut. Kebanjuran pesisir yang meluas dijangka berlaku dengan kenaikan suhu sebanyak beberapa darjah. Kesan-kesan lanjut termasuk banjir taufan serta tsunami yang lebih tinggi, sesaran penduduk, kehilangan atau kerosakan tanah pertanian serta kerosakan petempatan. Kelompok makhluk seperti ikan, burung dan tumbuhan turut terjejas akibat kehilangan habitat.