Kejuruteraan sosial (keselamatan)

Dalam bidang keselamatan siber, kejuruteraan sosial merujuk kepada manipulasi psikologi daripada suatu pihak untuk membongkarkan suatu maklumat rahsia atau peribadi seseorang. Kejuruteraan sosial secara umumnya dilakukan melalui telefon atau Internet. Kejuruteraan sosial merupakan salah satu kaedah yang digunakan oleh penggodam untuk memperoleh informasi tentang mangsanya dengan cara meminta informasi itu secara langsung kepada mangsa atau pihak lain yang mempunyai maklumat itu. Kejuruteraan sosial tertumpu kepada rantai terlemah dalam sistem jaringan komputer, iaitu manusia.