Kaum asli Taiwan
Kaum asli Taiwan (Bahasa Cina: 原住民; pinyin: yuánzhùmín; Wade-Giles: yüan2-chu4-min2; Pe̍h-oē-jī: gôan-chū-bîn, “penduduk asal”) adalah istilah yang biasanya digunakan untuk merujuk kepada kaum pribumi pulau Taiwan. Kajian terbaru menunjukkan nenek moyang mereka sudah mendiami pulau Taiwan lebih kurang 8,000 tahun sebelum imigran Cina berbangsa Han datang pada kurun ke-17. Kaum asli Taiwan adalah orang Austronesia yang bahasa dan genetik mereka dekat dengan kumpulan etnik Austronesia lain seperti orang Filipina, Nusantara, Madagaskar dan Oceania.
Bahasa-bahasa tuturan mereka sepulau Taiwan amat penting kepada pengkaji bahasa sebagai titik mula penyebaran budaya dan bahasa banyak bangsa Austronesia termasuk bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, pemerintahan tentera ke atas Taiwan di bawah parti Kuomintang pimpinan Chiang Kai-shek dari 1949–1987 melaksanakan banyak dasar pemaksaan bahasa dan budaya Cina terhadap orang Asli Taiwan.
Titik mula orang Asli Taiwan menuntut keadilan dan hak setimpal pada 1984 dengan penubuhan Persatuan Tuntut Hak Orang Asli yang melakukan tunjuk perasaan besar-besaran mendesak pengembalian tanah adat pada 1988, 1989 dan 1993. Selepas berakhirnya pemerintahan tentera di Taiwan, Pemindaan Ketiga Perlembagaan Republik China pada Perkara ke-10 tahun 1994 mengiktiraf terang kedudukan Orang-Orang Asli Taiwan secara bertulis sebagai etnik tersendiri berbanding setakat "orang gunung" (山胞 shānbao), ia kemudian diperjelaskan lagi pada 1997 semasa Pemindaan ke-Empat (sebagai 原住民族 yuánzhùmínzú). Presiden Tsai Ing-wen memohon maaf terbuka bagi pihak pemerintah Taiwan kepada semua orang Asli Taiwan atas semua dasar ini yang pernah dilaksanakan pada 2016.