Kardinal
Kardinal ialah pemimpin paling kanan dan utama selepas Paus yang memimpin Gereja Katolik (gelaran rasmi: Sanctae Romanae Ecclesiae cardinalis, maksud: "Pengengsel Gereja Rom Kudus"). Semua kardinal dilantik seumur hidup dari kalangan yang berpangkat uskup yang biasa mahupun agung yang ditahbis, mereka semua menduduki sidang (collegium, "kolej") jemaah rakan seangkatan dan menyediakan diri sentiasa kepada Paus sebagaimana diminta.
Kebanyakan kardinal mempunyai tugas tambahan, seperti mengetuai keuskupan yang masih diduduki baik yang biasa sederhana atau besar ("agung"), atau mengurus sebuah jabatan dari Kuria Rom. Tugas utama kardinal dalam suatu jemaah ialah memilih Paus baru selepas "takhta" duniawi penyandang sebelumnya dikosongkan (sede vacante) kerana meletakkan jawatan atau meninggal dunia dalam suatu konklaf; hanya kardinal yang berusia di bawah 80 tahun pada hari kematian Paus dibenarkan untuk mengambil bahagian. Semasa tempoh renggang antara kematian atau peletakan jawatan paus dan pemilihan penggantinya, tadbir urus harian Takhta Suci berada di tangan jemaah para Kardinal. Selain itu, kardinal juga terlibat dalam konsistori Paus, iaitu mesyuarat untuk membincangkan isu-isu penting dalam Gereja dan juga untuk melantik kardinal baharu. Kardinal yang masih dalam lingkungan umur bekerja juga dilantik untuk memimpin beberapa jabatan (dicasterium) dalam Kuria Rom, iaitu pentadbiran pusat Gereja Katolik. Sebilangan kecil kardinal ialah imam atau paderi yang diiktiraf oleh Paus atas pelayanan mereka dalam Gereja.
Setakat 21 April 2025, terdapat 252 orang kardinal yang sedang berkhidmat di mana 135 orang layak mengundi dalam konklaf untuk memilih Paus baharu.