Kapitalisme


Kapitalisme (Jerman: Kapitalismus) merupakan sistem ekonomi dan sosial yang cenderung ke arah pengumpulan kekayaan sendiri yakni modal oleh individu perseorangan tanpa gangguan sesebuah pemerintahan dan bermatlamatkan keuntungan. Takrif "individu" di sini tidak semestinya merujuk kepada orang perseorangan tetapi juga termasuk kumpulan seperti syarikat. Sistem ekonomi kapitalis digerakkan oleh kuasa pasaran dalam menentukan pengeluaran, kos, penetapan harga barang dan perkhidmatan, pelaburan dan pendapatan. Seseorang yang berpegang kepada fahaman ini yakni pemodal atau kapitalis dan dikatakan termasuk dalam kelompok "kaum modal". "Pasaran bebas" dan sistem pasaran adalah antara istilah yang sering bertukar ganti dengan kapitalisme untuk menerangkan ekonomi moden bukan komunis.

Amalan ekonomi kapitalis mengukuh di England di antara kurun ke-16 Masehi dan ke-19 Masehi. Walau bagaimanapun telah wujud ciri-ciri kapitalis sejak dulu lagi terutamanya di kalangan saudagar Zaman Pertengahan. Kapitalisme menjadi dominan di Barat semenjak berakhirnya era feudalisme. Dari England, kapitalisme merebak ke seluruh Eropah dan pada abad ke-19 dan 20, dan menjadi sistem ekonomi utama dunia yang menggerakkan era perindustrian.

Pengkritik sistem kapitalis berpendapat sistem ini mewujudkan jurang perbezaan yang ketara antara yang kaya dengan yang miskin. Sistem yang bertentangan dengan ideologi ini ialah komunisme dan sosialisme.