Isotop helium

Helium (He) mempunyai lapan isotop yang diketahui, tetapi hanya helium-3 (3He) dan helium-4 (4He) yang stabil. Semua radioisotop yang lain mempunyai jangka hayat pendek; isotop dengan jangka hayat terpanjang dimiliki 6He dengan separuh hayat 806.7 milisaat, manakala yang paling tidak stabil adalah 5He dengan separuh hayat 7.6 × 10-22 saat, tetapi berkemungkinan 2He mempunyai jangka hayat yang lebih pendek.

Di dalam atmosfera Bumi, terdapat satu atom 3He bagi setiap sejuta atom 4He. Namun, helium luar biasa kerana kelimpahan isotopnya jauh berbeza bergantung kepada sumbernya. Di dalam medium antara najam, nisbah 3He adalah kira-kira 100 kali lebih tinggi. Batuan dari kerak Bumi mempunyai nisbah isotop yang berbeza sehingga sepuluh kali ganda; ini digunakan dalam geologi untuk mengkaji asal-usul batu-batu dan komposisi mantel Bumi. Kaedah penghasilan yang berbeza bagi kedua-dua isotop stabil helium menyebabkan perbezaan dalam kelimpahan isotop.

Campuran sama 3He dan 4He cecair di bawah suhu 0.8 K akan terpisah kepada dua fasa yang tidak boleh bercampur disebabkan ketidaksamaan mereka (kedua-dua isotop mengikut statistik kuantum yang berbeza: 4He adalah boson manakala 3He adalah fermion). Peti sejuk pencairan (dilution refrigerators) menggunakan sifat kedua-dua isotop yang tidak boleh bercampur ini untuk mencapai suhu beberapa milikelvin.