Ibu negara Indonesia
Menurut perlembagaan Indonesia, ibu negara Indonesia ialah Jakarta mengikut Undang-Undang Republik Indonesia Nomor 10 Tahun 1964. Jakarta telah menjadi ibu negara Indonesia sejak zaman Hindia Belanda apabila Jakarta dikenali sebagai Batavia. Pada abad ke-20, terdapat rancangan untuk memindahkan ibu negara dari Batavia ke Bandung, tetapi gagal dilaksanakan akibat Zaman Kemelesetan dan Perang Dunia Kedua.
Pada April 2019, Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo menyatakan hasrat untuk memindahkan ibu negara Indonesia ke luar pulau Jawa, di mana rancangan ini tertera dalam Rencana Pembangunan Jangka Menengah Nasional 2020-2024. Pada 26 Ogos 2019, Joko Widodo bercadang untuk memindahkan ibu negara Indonesia ke kawasan Kalimantan di pulau Borneo. Sebuah bandar terancang akan dibina di kawasan kabupaten Penajam Paser Utara dan Kutai Kartanegara di Kalimantan Timur.