Fibromialgia
| Fibromialgia | |
|---|---|
| Pengkhususan | Reumatologi, neurologi |
| Berdasarkan simptom selepas mengecualikan kemungkinan punca-punca lain | |
| Prognosis | Jangka hayat normal |
| sunting | |
Fibromialgia (FM) ialah keadaan perubatan yang dicirikan oleh kesakitan kronik yang meluas dan kesakitan yang bertindak balas terhadap tekanan. Gejala-gejala lain termasuk keletihan sehingga kepada tahap yang menjejaskan aktiviti seharian, masalah tidur dan masalah dengan ingatan. Sesetengah pesakit juga melaporkan sindrom kaki yang lenguh, masalah usus atau pundi kencing, kebas dan kesemutan serta sensitif terhadap bunyi bising, lampu atau suhu. Fibromialgia sering dikaitkan dengan kemurungan, kebimbangan dan gangguan tekanan selepas trauma. Jenis sakit kronik yang lain juga kerap berlaku.
Punca yang menyebabkan fibromialgia adalah tidak diketahui, bagaimanapun, ia dipercayai bermula daripada faktor-faktor genetik dan persekitaran. Keadaan ini berlaku dalam keluarga dan banyak gen dipercayai terlibat. Faktor persekitaran mungkin termasuk tekanan psikologi, trauma dan jangkitan tertentu. Kesakitan selalunya bermula dari sistem saraf pusat dan keadaan ini dirujuk sebagai "sindrom pemekaan pusat". Fibromialgia diiktiraf sebagai gangguan oleh Institut Kesihatan Kebangsaan AS dan Kolej Rheumatologi Amerika. Tiada ujian diagnostik khusus wujud untuk sakit ini. Diagnosis melibatkan terlebih dahulu menolak kemungkinan penyebab lain dan mengesahkan bahawa beberapa set simptom hadir.
Rawatan fibromialgia boleh menjadi agak sukar. Doktor selalunya mengesyorkan pesakit mendapatkan tidur yang cukup, bersenam dengan kerap dan makan makanan yang sihat . Terapi tingkah laku kognitif (CBT) juga boleh membantu. Ubat duloxetine, milnacipran atau pregabalin boleh digunakan. Penggunaan ubat sakit opioid adalah kontroversi, ini kerana kegunaannya kurang disokong oleh bukti dan yang lain mengatakan bahawa opioid yang lemah mungkin munasabah jika ubat lain tidak berkesan. Suplemen diet tidak disokong oleh bukti perubatan atau kajian untuk menyokong penggunaannya. Walaupun fibromialgia boleh bertahan lama, ia tidak mengakibatkan kematian atau kerosakan tisu.
Fibromialgia dianggarkan menjejaskan 2-8% daripada populasi. Kadar pesakit wanita terjejas adalah kira-kira dua kali lebih kerap daripada lelaki. Kadar jangkitan kelihatan konsisten di kawasan yang berbeza di dunia dan di antara budaya yang berbeza. Fibromialgia pertama kali ditakrifkan pada tahun 1990, dengan kriteria yang dikemas kini pada tahun 2011. Terdapat kontroversi mengenai klasifikasi, diagnosis dan rawatan fibromialgia. Walaupun sesetengah merasakan diagnosis fibromialgia mungkin memberi kesan negatif kepada seseorang, penyelidikan lain mendapati ia bermanfaat. Istilah "fibromialgia" berasal dari bahasa Latin Baru fibro-, bermaksud "tisu berserabut", Greek μυώ myo-, "otot", dan Greek άλγος algos, "sakit"; Oleh itu, istilah ini secara literal bermaksud "sakit otot dan tisu penghubung berserabut".