Enid Blyton
Enid Blyton | |
|---|---|
| Lahir | 11 Ogos 1897 |
| Meninggal dunia | 28 November 1968 |
| Pekerjaan | Penulis novel |
| Genre | Pengembaraan, Misteri, Fantasi |
| Laman web | |
| www.enidblytonsociety.co.uk | |
Enid Mary Blyton (11 Ogos 1897–28 November 1968) ialah seorang British yang telah dianggap sebagai salah satu penulis novel kanak-kanak yang terutama pada abad ke-20. Beliau telah disanjung oleh para pengkritik kerana penceritaannya yang kaya serta watak-wataknya yang tidak dapat dilupakan.
Blyton terkenal kerana menulis banyak siri buku berdasarkan watak-watak yang berulang-ulang dan yang ditujukan kepada kumpulan-kumpulan umur yang berbeza. Buku-bukunya telah mencapai kejayaan yang cemerlang di banyak negara, dengan jualan yang melebihi 400 juta naskhah. Pada tahun 2007, Blyton menjadi penulis yang kelima terpopular di dunia, iaitu di belakang Lenin tetapi di hadapan William Shakespeare, menurut Indeks Translationum. Pemeringkatan ini berdasarkan bilangan naskhah buku Blyton yang dijual dan merangkumi melebihi 3,300 terjemahan buku-bukunya.
Salah satu wataknya yang paling terkenal ialah Noddy. Watak-watak lain yang popular termasuk watak-watak dalam siri Lima Sekawan (terdiri daripada 21 buah novel (1942–1963) berkenaan dengan empat orang remaja serta seekor anjing yang membuat berbagai-bagai pengembaraan), dan siri Tujuh Penyiasat (terdiri daripada 15 buah novel (1949–1963) tentang tujuh orang remaja yang menyelesaikan berbagai-bagai misteri).
Karya-karya Blyton yang merangkumi cerita-cerita pengembaraan dan fantasi seringnya melibatkan kuasa ajaib. Buku-bukunya masih amat popular di Britain, India, New Zealand, Pakistan, serta Australia, dan telah diterjemahkan dalam hampir 90 bahasa, termasuk bahasa-bahasa Belanda, Cina, Finland, Ibrani, Indonesia, Jepun, Jerman, Perancis, Portugis, Sepanyol, Slovenia, dan Sweden. Versi-versi terjemahan tersebut juga masih amat popular di banyak kawasan di Eropah dan Asia.