Drakunkuliasis
| Dracunculiasis | |
|---|---|
| Pengelasan dan sumber luaran | |
Menggunakan batang mancis untuk mengeluarkan cacing guinea daripada kaki manusia | |
| ICD-10 | B72 |
| ICD-9 | 125.7 |
| P. Data Penyakit | 3945 |
| eMedicine | ped/616 |
| MeSH | D004320 |
| Penafian perubatan | |
Drakunkuliasis, juga dikenali sebagai penyakit cacing guinea (GWD), merupakan jangkitan oleh cacing guinea. Seseorang akan dijangkiti apabila mereka minum air yang mengandungi kutu air yang dijangkiti oleh larva cacing guinea. Pada mulanya, mereka tidak mengalami apa-apa simptom. Kira-kira setahun kemudian, mereka yang dijangkiti mengalami rasa terbakar yang menyakitkan apabila cacing betina membentuk lepuhan pada kulit, biasanya pada bahagian anggota badan bawah. Cacing ini kemudiannya keluar daripada kulit dalam tempoh beberapa minggu. Pada masa ini, individu yang dijangkiti mungkin sukar berjalan atau bekerja. Penyakit ini sangat jarang membawa maut.
Manusia adalah satu-satunya makhluk yang diketahui dijangkiti cacing guinea. Cacing ini berukuran kira-kira satu sehingga dua milimeter lebar dan cacing betina dewasa berukuran 60 sehingga 100 sentimeter panjang (cacing jantan lebih pendek). Di luar tubuh manusia, telur cacing ini boleh hidup selama tiga minggu. Telur ini mesti dimakan oleh kutu air sebelum tempoh ini tamat. Larva di dalam kutu air boleh hidup selama empat bulan. Oleh itu, penyakit mesti tercetus setiap tahun dalam kalangan manusia untuk kekal di suatu kawasan. Diagnosis penyakit biasanya boleh dilakukan berdasarkan tanda dan simptom penyakit.
Pencegahan ialah dengan diagnosis awal penyakit, kemudian mencegah individu tersebut daripada memasukkan cacing ke dalam air minum. Usaha lain termasuk: menambah baik capaian untuk air bersih dan menapis air jika ia tidak bersih. Menapis air menggunakan kain biasanya sudah mencukupi. Air minum yang tercemar boleh dirawat menggunakan bahan kimia yang dipanggil temefos untuk membunuh larva. Tiada ubat atau vaksin untuk penyakit ini. Cacing boleh dikeluarkan perlahan-lahan dalam beberapa minggu dengan menggeleknya dengan kayu. Ulser yang terbentuk oleh cacing yang keluar boleh dijangkiti bakteria. Kesakitan boleh berlanjutan selama berbulan-bulan selepas cacing dikeluarkan.
Sebanyak 148 kes penyakit ini dilaporkan pada tahun 2013. Ini merupakan satu penurunan daripada 3.5 juta kes pada tahun 1986. Ia wujud di 4 buah negara sahaja di Afrika, turun daripada 20 negara pada tahun 1980-an. Negara yang paling teruk terjejas ialah Sudan Selatan. Penyakit ini mungkin penyakit parasitik yang pertama berjaya dibasmikan. Penyakit cacing guinea sudah ditemui dalam kalangan manusia sejak ribuan tahun dahulu. Ia pernah disebut dalam Papirus Ebers perubatan Mesir yang bertarikh 1550 SM. Nama drakunkuliasis merupakan terbitan daripada Latin yang membawa maksud "penderitaan disebabkan naga kecil", sementara nama "cacing guinea" mula digunakan selepas orang Eropah melihat penyakit ini di pantai Guinea, Afrika Barat pada abad ke-17. Satu spesies yang serupa dengan cacing guinea mengakibatkan penyakit dalam kalangan haiwan lain. Spesies cacing ini tidak menjangkiti manusia. Penyakit ini dikelaskan sebagai penyakit tropika terabai.