Dota 2
Dota 2 merupakan permainan MOBA yang percuma untuk dimainkan yang dibangun dan dikeluarkan oleh Valve Corporation untuk Microsoft Windows, OS X, dan Linux. Permainan ini merupakan susulan berasingan Defense of the Ancients (DotA), yang mana merupakan sebuah mod bagi Warcraft III: Reign of Chaos dan pek lanjutannya, The Frozen Throne[1]. Dota 2 dimainkan dalam bentuk pertempuran antara dua pasukan yang masing-masing mempunyai lima pemain. Setiap pemain mengawal watak pemain berkuasa, dipanggil "hero", yang mempunyai kuasa unik dan gaya permainan yang berlainan. Ketika perlawanan berlangsung, pemain-pemain mengumpul mata pengalaman, mata wang, dan item bagi hero mereka untuk memperkuat hero mereka dalam melawan pasukan lawan, mencuba untuk menyerang pertahanan mereka. Satu-satu pasukan dikira pemenang apabila mereka memusnahkan struktur terbesar di kubu musuh iaitu "Ancient".
Pembangunan Dota 2 bermula sejak 2009 apabila IceFrog[2], pereka utama mod Defense of the Ancient yang asal, telah diupah oleh Valve bagi membangunkan Dota 2. Permainan ini dikeluarkan pada bulan Julai 2013, mengikuti fasa beta-terbuka[3] untuk Windows sahaja yang telah dilepaskan dua tahun lebih awal. Permainan ini pada mulanya menggunakan Source asal sehingga ia dialih kepada Source 2[4] pada tahun 2015, menjadikannya permainan pertama yang menggunakan Source 2. Permainan ini juga membenarkan komunitinya mencipta mod permainan, peta, dan kosmetik untuk hero mereka sendiri, yang mana kemudiannya akan dimuat naik ke Bengkel Steam[5]. Dota 2 merupakan salah satu permainan yang paling aktif dimainkan di Steam, yang mana pada ketika ini jumlah pemain melebihi 1 juta, dan dipuji atas permainan, kualiti produksi, dan kepercayaan terhadap pembangun asal mereka, walaupun dikritik atas sebab tertentu. Kemasyhuran Dota 2 membawa kepada pengeluaran barangan cenderahati sempenanya, termasuklah pakaian, aksesori, dan permainan, dan juga tie-in[6] promosi untuk permainan dan media lain.
Dota 2 juga mempunyai bidang persaingan[7] yang aktif dan tersebar luas, dengan penglibatan pemain-pemain dari serata dunia bermain secara profesional dalam pelbagai liga dan kejohanan. Kejohanan Dota 2 perdana biasanya mencapai nilai hadiah berjuta-juta dolar AS, iaitu yang tertinggi dalam kesemua eSport. Yang terbesar antara kejohanan ini dikenali sebagai The International[8] yang dianjurkan oleh Valve sendiri dan diadakan pada setiap tahun. Bermula tahun 2015, Valve juga mula menaja kejohanan bermusim yang lebih kecil, yang dikenali sebagai Majors[9], yang pertama sekali diadakan di Frankfurt, Jerman. Liputan media berkenaan kejohanan profesional disiarkan secara langsung di internet, dan kadang-kadang di rangkaian TV, yang mencapai jutaan penonton.