Dilasi masa graviti
Dilasi masa graviti (Jawi: ديلسي ماس ڬراۏيتي) ialah perbezaan sebenar peredaran masa antara dua peristiwa seperti yang disukat oleh pemerhati-pemerhati yang terletak di tempat yang berbeza-beza daripada jisim graviti, di kawasan-kawasan yang berlainan potensi graviti. Makin rendah potensi graviti (makin dekat jam itu dengan punca graviti), makin perlahan masa berlalu. Kesan ini mula-mula diramal oleh Albert Einstein dalam teori kerelatifan beliau dan semenjak itu telah disahkan oleh ujian kerelatifan am.
Ini telah ditunjuk cara dengan mengambil kira bahawa jam-jam atom yang terletak berlainan altitud (dan oleh itu berlainan potensi graviti) akan membuahkan waktu yang berbeza-beza. Kesan-kesan yang dikesan pada uji kaji-uji kaji sebegini teramat halus hinggakan bezanya diukur dalam nanosaat.
Dilasi masa graviti mula-mula diperikan oleh Albert Einstein pada tahun 1907 sebagai kesan daripada kerelatifan khas dalam rangka rujukan terpecut. Dalam kerelatifan am, ia dianggap sebagai beza dalam peredaran masa wajar di kedudukan yang berbeza-beza seperti yang diperikan oleh tensor metrik ruang masa. Kewujudan dilasi masa graviti disahkan secara langsung buat julung kalinya oleh uji kaji Pound–Rebka.