Cacar monyet
| Cacar monyet | |
|---|---|
| Ruam kulit akibat cacar monyet pada anak perempuan berusia 4 tahun | |
| Pengkhususan | Penyakit berjangkit |
| Gejala | Ruam, demam, sakit otot, sakit tekak, nodus limfa bengkak |
| Kerumitan | Jangkitan sekunder, pneumonia, sepsis, ensefalitis, kehilangan penglihatan dengan jangkitan mata teruk |
Permulaan biasa | 5-21 hari setelah pendedahan |
| Tempoh | 2 ke 4 minggu |
| Jenis | Klad I, Klad II |
| Punca | Virus cacar monyet |
| Pengesanan DNA virus | |
| Cacar air, variola | |
| Pencegahan | Vaksin cacar |
| Rawatan | Sokongan |
Rawatan perubatan | Tekovirimat, antivirus |
| Prognosis | Kebanyakannya pulih |
| Kekerapan | Jarang |
| Kematian | kurang 1% (klad Afrika Barat), hingga 10% (klad lembangan Kongo, tanpa rawatan) |
| sunting | |
Cacar monyet (diberi nama baharu mpox pada 2022) ialah suatu penyakit berjangkit yang disebabkan oleh jangkitan virus cacar monyet dalam sesetengah haiwan, termasuk manusia. ialah suatu penyakit berjangkit yang disebabkan oleh jangkitan virus cacar monyet dalam sesetengah haiwan termasuk manusia. Gejala termasuk ruam yang membentuk lepuh dan kemudian menjadi berkerak, demam, bengkak nodus limfa dan lelah. Penyakit ini biasanya ringan, dan kebanyakan individu yang dijangkiti pulih dalam beberapa minggu tanpa rawatan. Masa dari pendedahan hingga permulaan gejala adalah antara lima hingga dua puluh satu hari, dan gejala biasanya berlarutan antara dua hingga empat minggu. Walau bagaimanapun, kes-kes cacar mungkin bersifat teruk, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak, wanita mengandung atau mereka dengan sistem imun yang terjejas.
Penyakit ini disebabkan oleh virus Orthopoxvirus monkeypox, dahulunya dikenali sebagai "virus cacar monyet", iaitu virus zoonotik dalam genus Orthopoxvirus. Virus variola, yang menyebabkan cacar, juga berada dalam genus ini. Penularan dari manusia ke manusia boleh berlaku melalui sentuhan langsung dengan kulit atau cecair badan yang dijangkiti, termasuk melalui hubungan seksual. Orang yang dijangkiti kekal berjangkit dari permulaan gejala sehingga semua luka telah berkerak dan sembuh. Seseorang dapat dijangkiti virus akibat digigit atau dicakar haiwan, bersentuhan dengan daging atau bendalir tubuh haiwan liar terjangkit, objek tercemar atau berada dalam jarak dekat dengan orang yang dijangkiti. Virus cacar monyet umumnya mengalir dalam kalangan rodensia. Diagnosis boleh disahkan melalui ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) pada sampel luka untuk DNA virus. Tanda klinikal penyakit ini mirip dengan cacar air.
Vaksinasi disyorkan pada mereka yang berisiko tinggi untuk dijangkiti. Tiada vaksin yang dibangunkan khusus untuk mpox, tetapi vaksin cacar didapati berkesan. Tiada rawatan khusus untuk penyakit ini, jadi rawatan bertujuan untuk menguruskan gejala dan mencegah komplikasi. Vaksin cacar (variola) dapat mencegah jangkitan dengan keberkesanan 85%. Pada 2019, vaksin cacar monyet, Jynneos (juga dikenal sebagai Imvanex di Kesatuan Eropah dan Imvamune di Kanada), telah disetujui bagi penggunaan terhadap orang dewasa di Amerika Syarikat. Buat masa kini, tiada rawatan khusus untuk merawat penyakit ini, dan fokus utama rawatan ialah pengurusan gejala serta kawalan penyakit. Terapi lazim yang digunakan saat ini ialah tekovirimat, antivirus yang secara khusus ditujukan untuk mengubati virus ortopoks, walaupun keberkesanannya masih belum terbukti. Ubat ini disetujui untuk mengubati cacar monyet di Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat. Sidofovir atau brinsidofovir mungkin juga bermanfaat bagi melawan penyakit ini. Risiko kematian, jika tidak diubati, dilaporkan sebesar 10% hingga 11% dalam klad basin Kongo (Afrika Tengah).
Cacar monyet pertama kali dikenal pasti pada 1958 dalam monyet makmal di Copenhagen, Denmark. Walaupun demikian, monyet bukanlah reservoir alami virus tersebut. Kes pertama melibatkan manusia ditemui pada 1970 di Republik Demokratik Congo. Wabak cacar monyet yang terjadi di Amerika Syarikat pada 2003 diduga berasal dari pasaran haiwan peliharaan serta penjualan haiwan rodensia yang diimport dari Ghana. Wabak cacar monyet 2022 merupakan insiden pertama penularan meluas di luar Afrika, yang dimulai di England pada Mei 2022, dengan kes-kes berikutnya dikesan di kawasan Eropah, Amerika, Australia dan Timur Tengah. Wabak global klad II pada tahun 2022–2023 menandakan kejadian pertama penularan komuniti yang meluas di luar Afrika. Pada Julai 2022, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak tersebut sebagai Darurat Kesihatan Awam Keprihatinan Antarabangsa (PHEIC). WHO menarik balik status ini pada Mei 2023 setelah wabak tersebut berjaya dikawal, dengan memetik gabungan vaksinasi dan maklumat kesihatan awam sebagai langkah kawalan yang berjaya.
Wabak klad I mpox dikesan di Republik Demokratik Congo pada tahun 2023. Sehingga Ogos 2024, ia telah merebak ke beberapa negara di Afrika, menimbulkan kebimbangan bahawa ia mungkin telah menyesuaikan diri untuk penularan manusia yang lebih berterusan. Pada 14 Ogos 2024, WHO mengisytiharkan wabak ini sebagai PHEIC. Pada hari berikutnya, kes pertama di luar Afrika dilaporkan di Sweden.