Berus gigi
Berus gigi ialah sejenis alat yang terdiri daripada sebuah berus kecil dengan pegangan yang digunakan untuk membersihkan gigi dengan menggosok gigi. Pada kebiasaanya, ubat gigi yang selalunya mengandungi fluorida ditambahkan ke atas berus gigi bagi memudahkan lagi pembersihan gigi. Berus gigi datang dengan pelbagai tekstur berus, serta pelbagai saiz dan bentuk.
Kebanyakan doktor gigi menyarankan berus gigi yang dilabelkan "Soft" (maksud: berbulu lembut) kerana berus yang berbulu keras boleh merosakkan enamel gigi dan mencederakan gusi, walaupun berus gigi yang berbulu lembut kurang berkesan membersihkan sela-sela gigi. Berus gigi selalunya diperbuat daripada serat sintetik, namun terdapat juga berus gigi dengan bahan semula jadi. Berus gigi komersial pertama telah dicipta oleh Goldstein dan Hautman pada 1875.