Berita Publishing
Berita Publishing Sdn. Bhd. ialah sebuah syarikat penerbitan buku dan majalah Malaysia. Ditubuhkan pada 1973, ia dahulunya merupakan anak syarikat New Straits Times Press (NSTP) sebelum diambil alih oleh Alaf Positif yang dimiliki oleh bekas ketua pengarang NSTP, Abdul Kadir Jasin dan merupakan antara syarikat penerbitan buku yang tertua di Malaysia.
Syarikat ini telah menerbitkan sejumlah majalah dan bahan bacaan lain termasuk I-Remaja, Anjung Seri, Jelita, Madam Chair dan Malaysian Business. Berita Publishing juga menerbitkan sejumlah siri komik karya Lat termasuk Kampung Boy dan Mat Som. Selain daripada penerbitan buku dan majalah, Berita Publishing turut terlibat dalam penerbitan kontrak (buku dan terbitan berkala sama ada dalam bentuk bercetak atau elektronik), penganjuran latihan kemahiran dan pengurusan acara.
Pada Julai 2015, Berita Publishing mengumumkan bahawa ia akan menghentikan perniagaan penerbitan majalah berikutan aliran menurun perniagaan am dan perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ke atas majalah. Setahun kemudian, iaitu pada tahun 2016, syarikat ini menamatkan operasinya.