Barisan ketenteraan
Dalam konteks ketenteraan, istilah barisan atau barisan tempur boleh mempunyai beberapa makna. Menurut takrif rasmi Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat dan NATO, barisan boleh ditakrifkan sebagai "garisan pertembungan antara dua pasukan yang berlawanan." Garisan hadapan ini boleh menjadi barisan tempatan atau taktikal, atau ia boleh merangkumi sehingga ke peringkat kancah. Contoh bagi yang terakhir ialah Medan Barat di Perancis dan Belgium dalam Perang Dunia Pertama.
Selain itu, barisan boleh merujuk kepada arah musuh atau, jika tiada pertempuran, arah yang dihadapi oleh sesuatu unit tentera. Sebaliknya, istilah "barisan tanah air" digunakan untuk menggambarkan keadaan di sektor awam sesebuah negara yang berperang, termasuk mereka yang terlibat dalam pengeluaran materiel.
Barisan juga boleh merujuk kepada ruang sisi yang diduduki oleh sesuatu unit ketenteraan yang diukur dari hujung satu rusuk hingga ke rusuk yang lain. Jumlah keluasan barisan yang diduduki oleh unit bergantung pada banyak faktor, termasuk tempoh masa dan teknologi yang ada. Sebagai contoh, di bawah doktrin ketenteraan Tentera Darat Soviet dan mereka yang menirunya, keluasan barisan yang diduduki oleh unit penyerang bergantung pada saiznya. Sebuah divisyen yang menyerang dengan tiga rejimen di barisan hadapan pertama akan mengekalkan zon serangan selebar 15 hingga 25 kilometer. Barisan sebuah rejimen biasanya selebar 4 hingga 5 kilometer, tetapi boleh berbeza antara 3 hingga 8 kilometer. Keluasan ini berkurangan mengikut saiz unit yang lebih kecil: 2 hingga 3 kilometer bagi sebuah batalion, 500 hingga 800 meter bagi sebuah kompeni, dan 100 hingga 200 meter bagi sebuah platun.
Selain itu, Tentera Darat Soviet menggunakan istilah "barisan" yang bersamaan denan kumpulan tentera darat, dan Tentera Darat Poland juga menggunakan istilah yang sama semasa Perang Poland–Soviet dan Perang Dunia Kedua.
Istilah "bandaraya garisan hadapan" digunakan oleh Jerman semasa pengunduran panjang mereka dari Moscow/Stalingrad untuk merujuk kepada pusat metropolitan yang telah menjadi perebutan antara dua pihak yang bertempur. Penetapan sesebuah bandaraya seperti demikian membawa kepada perubahan pentadbiran (terutamanya pengenaan undang-undang tentera). Dalam filem Downfall, istilah ini disebut secara ringkas.