Baju selam
Seorang wanita meluncur air dengan berbaju selam | |
| Kegunaan | Perlindungan haba untuk sukan air dan kerja bawah air |
|---|---|
| Pereka | Hugh Bradner (baju selam moden) |
| Item berkaitan | Sut penyelaman, sut kering, sut air panas, pelindung ruam |
Baju selam (wetsuit) (Jawi: باجو سلم) atau sut basah (Jawi: سوت باسه) ialah sut yang dipakai untuk memberikan perlindungan haba semasa basah. Ia biasanya diperbuat daripada neoprena berbusa, dan dipakai oleh peluncur air, penyelam, peluncur angin (windsurfers), pendayung kanu, dan mereka yang terlibat dalam sukan air dan aktiviti lain di dalam atau di atas air. Tujuannya adalah untuk memberikan penebatan haba dan perlindungan daripada lelasan, pendedahan ultraungu, dan sengatan daripada organisma laut. Ia juga menyumbang kepada daya apungan tambahan. Sifat penebat busa neoprena bergantung terutamanya pada gelembung gas yang terperangkap di dalam bahan tersebut, di mana mengurangkan keupayaannya untuk mengalirkan haba. Gelembung gas ini juga memberikan pakaian selam ketumpatan rendah, memberikan keapungan di dalam air.
Hugh Bradner, seorang ahli fizik dari University of California, Berkeley, mencipta baju selam moden pada tahun 1952. Baju selam mula tersedia pada pertengahan tahun 1950-an. Baju selam berubah ansur apabila neoprena berbusa yang agak rapuh pada mulanya disokong, kemudian ia diapit dengan kepingan nipis bahan yang lebih kukuh seperti nilon atau spandeks (juga dikenali sebagai lycra). Penambahbaikan dalam cara penyambungan baju selam dibuat melalui pelekat, penampalan (taping) dan jahitan buta (blind-stitching), membantu sut tersebut kekal kalis air dan mengurangkan flushing (penggantian air yang terperangkap antara pakaian dan badan oleh air sejuk dari luar). Penambahbaikan lanjut pada pengedap di leher, pergelangan tangan, pergelangan kaki, dan zip menghasilkan sut yang dikenali sebagai semikering.
Pelbagai jenis baju selam dibuat untuk kegunaan yang berbeza dan untuk suhu yang berbeza. Sut ini terdiri daripada baju selam pendek (shortie) yang berketebalan 2mm atau kurang, ia hanya menutupi torso, bahagian atas lengan, dan peha. Manakala sut semikering yang berketebalan 8mm menutupi torso, lengan, dan kaki, ia biasanya dilengkapi dengan but neoprena, sarung tangan dan hud. Jenis baju selam bergantung pada suhu air dan kedalaman selam yang dirancang.
Perbezaan antara baju selam (wetsuit) dan sut kering (dry suit) ialah baju selam membenarkan air masuk ke dalam sut, walau bagaimanapun kepadanan tubuh yang baik mengehadkan peredaran air di dalam sut antara bahagian dalam dan luar sut, manakala sut kering direka untuk menghalang air daripada masuk, dengan itu memastikan sut pada bahagian dalam kering dan mengekalkan keberkesanan penebatnya. Baju selam boleh memberikan perlindungan yang mencukupi di dalam air suam hingga sederhana sejuk. Sut kering biasanya lebih mahal dan lebih kompleks untuk digunakan, tetapi boleh digunakan di mana perlindungan daripada suhu yang lebih rendah atau air yang tercemar diperlukan.