Bahasa terancam

Lebih daripada 50% bahasa terancam di dunia terletak pada hanya lapan buah negara (ditandakan dengan warna merah pada peta): India, Brazil, Mexico, Australia, Indonesia, Nigeria, Papua New Guinea dan Cameroon. Di negara-negara tersebut dan di sekeliling mereka merupakan kawasan yang mempunyai kepelbagaian bahasa tertinggi di dunia (ditandakan dengan warna biru pada peta).
Kepupusan bahasa boleh disebabkan oleh peralihan bahasa yang melibatkan ahli kumpulan sesuatu etnik itu tidak lagi mempelajari bahasa warisan mereka sebagai bahasa pertama mereka.

Bahasa terancam atau bahasa nazak ialah bahasa yang berisiko hilang apabila penuturnya mati atau beralih kepada penutur bahasa lain. Kehilangan bahasa berlaku apabila sesuatu bahasa itu tidak lagi mempunyai penutur asli dan menjadi "bahasa mati". Jika tidak ada sesiapa pun yang boleh bercakap bahasa itu sama sekali, bahasa tersebut menjadi "bahasa pupus". Sesuatu bahasa mati mungkin masih dikaji melalui rakaman atau tulisan, tetapi ia masih mati atau pupus melainkan terdapat penutur yang fasih akan bahasa itu. Walaupun bahasa sentiasa pupus sepanjang sejarah manusia, fenomena kepupusan bahasa kini berlaku pada kadar yang dipercepatkan disebabkan oleh globalisasi, penghijrahan besar-besaran, penggantian budaya, imperialisme, neokolonialisme dan linguisid (pembunuhan bahasa).

Peralihan bahasa paling kerap berlaku apabila penutur sesuatu bahasa itu beralih kepada bahasa yang dikaitkan dengan kuasa sosial atau ekonomi atau bahasa yang dituturkan dengan lebih meluas, seterusnya membawa kepada pengurangan penggunaan bahasa itu secara beransur-ansur, dan akhirnya membawa kepada kematian bahasa terancam itu. Proses peralihan bahasa sering dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti globalisasi, pihak berkuasa ekonomi, dan keprestijan sesuatu bahasa itu. Hasil akhirnya ialah kehilangan kepelbagaian bahasa dan warisan budaya dalam komuniti yang terjejas. Konsensus umum ialah terdapat antara 6,000 hingga 7,000 bahasa yang digunakan pada masa ini. Sesetengah ahli bahasa menganggarkan bahawa antara 50% hingga 90% daripada bahasa-bahasa yang dituturkan itu akan terancam teruk atau mati menjelang tahun 2100. 20 bahasa yang paling biasa digunakan, setiap satu daripadanya dengan lebih daripada 50 juta penutur, dituturkan oleh 50% penduduk dunia, tetapi kebanyakan bahasa dituturkan oleh kurang daripada 10,000 orang.

Banyak projek sedang dijalankan bertujuan untuk mencegah atau memperlahankan kehilangan bahasa dengan menghidupkan semula bahasa yang terancam dan menggalakkan pendidikan dan literasi bahasa minoriti, selalunya melibatkan projek bersama antara komuniti bahasa dan ahli bahasa. Di seluruh dunia, banyak negara telah menggubal undang-undang khusus yang bertujuan untuk melindungi dan menstabilkan bahasa komuniti pertuturan orang asli. Menyedari bahawa kebanyakan bahasa terancam di dunia tidak mungkin dihidupkan semula, ramai ahli bahasa juga sedang berusaha untuk mendokumentasikan beribu-ribu bahasa di dunia yang sedikit atau tidak diketahui.