Orbital atom

Orbital atom ialah satu fungsi matematik yang menerangkan perilaku seperti gelombang sama ada oleh sebuah elektron atau sepasang elektron dalam sesuatu atom. Fungsi ini boleh digunakan untuk mengira kebarangkalian untuk menemui mana-mana elektron sesuatu atom di dalam mana-mana kawasan tertentu di sekeliling nukleus atom. Istilah ini boleh juga merujuk kepada kawasan fizikal di mana elektron-elektron boleh dikira kewujudannya, seperti mana yang ditakrifkan oleh bentuk matematik orbital itu.

Setiap orbital di dalam atom dikhaskan oleh satu set nilai unik yang terdiri daripada tiga nombor kuantum, n, , dan m, yang masing-masing merujuk kepada tenaga, momentum sudut, dan komponen vektor momentum sudut. Mana-mana orbital boleh memiliki paling banyak dua elektron, setiap satu dengan nombor kuantum spinnya sendiri. Nama-nama ringkas orbital s, orbital p, orbital d dan orbital f masing-masing merujuk kepada orbital-orbital dengan nombor kuantum momentum sudut  = 0, 1, 2 dan 3. Nama-nama ini, bersama dengan nilai untuk n, digunakan untuk menyatakan konfigurasi elektron. Ia diterbitkan daripada ciri-ciri garis spektroskopinya: sharp, principal, diffuse dan fundamental. Selepas itu, nama-nama orbital dinamakan mengikut urutan huruf (dengan huruf j dikecualikan).

Orbital atom adalah asas kepada model orbital atom (juga dikenali sebagai awan elektron atau model mekanik gelombang), satu rangka kerja moden untuk menggambarkan kelakuan submikroskopik elektron-elektron dalam jirim. Dalam model ini, awan elektron sebuah atom dengan banyak elektron boleh dilihat seperti ianya dihasilkan (dalam anggaran) dalam konfigurasi elektron yang merupakan produk orbital-orbital atom seperti hidrogen yang lebih ringkas. Keberkalaan berulang blok-blok dengan 2, 6, 10 dan 14 unsur di dalam jadual berkala muncul secara semula jadi daripada jumlah bilangan elektron yang menduduki set lengkap orbital s, p, d dan f.