Amin
Perkataan Amin atau Amen (Ibrani: אָמֵן, rumi: Amen, lit. 'ʾĀmēn'; bahasa Yunani: ἀμήν; Arab: آمين, ʾĀmīn ; bermaksud; "perkenankanlah") merupakan suatu pengakuan ikrar yang boleh dijumpai dalam Alkitab Ibrani dan Perjanjian Baru. Ia digunakan dalam agama Yahudi dalam teks-teks awalnya. Ia juga sering digunakan dalam agama Kristian untuk tujuan berdoa, dan nyanyian ketuhanan mereka. Dalam agama Islam, ia merupakan perkataan yang sering diucapkan tatkala mengakhiri sesuatu bait-bait dalam berdoa, juga ketika dalam melakukan solat, Muslim akan mengakhiri bacaan "Surah Al-Fatihah" dengan menyebut perkataan Amin. Apabila umat Muslim melakukan solat berjemaah, bacaan Amin akan segera kedengaran secara bergema khususnya dari kalangan jamaah lelaki selepas membaca Surah Al-Fatihah.
Menurut Kamus Bahasa Melayu, Kamus Pelajar edisi ke-2, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, perkataan Amin ditakrifkan sebagai "perkenankanlah hendaknya (selalu diucapkan ketika berdoa)".