Alofon

Dalam fonologi, sebuah alofon (Jawi: الوفون; daripada Greek ἄλλος, állos, 'lain' dan φωνή, phōnē, 'suara, bunyi') ialah bunyi—atau fon—yang berlainan yang terhasil daripada satu fonem yang sama dalam sesuatu bahasa. Sebagai contoh, dalam bahasa Melayu, fonem [] letupan dwibibir bersuara (seperti dalam sapa [sɑp̬ɑ]) dan bentuk perlepasan tidak terdengar [p̚] (seperti dalam atap [ɑtɑp̚]) adalah alofon bagi fonem /p/, sedangkan kedua-dua ini mungkin dianggap sebagai fonem yang berbeza dalam beberapa bahasa. Begitu juga, dalam Sepanyol, [d] (seperti dalam dolor [doˈloɾ]) dan [ð] (seperti dalam nada [ˈnaða]) ialah alofon bagi fonem /d/, namun kedua-dua ini dianggap sebagai fonem yang berbeza dalam bahasa Inggeris (seperti perbezaan antara dare dan there).

Alofon tertentu yang dipilih dalam situasi tertentu selalunya boleh diagak berdasarkan konteks fonetik, dengan alofon sedemikian dipanggil varian posisi, tetapi sesetengah alofon berlaku dalam variasi bebas. Menggantikan satu bunyi dengan alofon lain bagi fonem yang sama biasanya tidak mengubah maksud sesuatu perkataan, tetapi hasilnya mungkin berbunyi seperti penutur tidak asli malah mungkin tidak dapat difahami.

Penutur asli sesuatu bahasa menganggap satu fonem dalam bahasa tersebut sebagai satu bunyi yang tetap dan "tidak sedar malah terkejut" dengan variasi alofon yang digunakan untuk menyebut fonem tunggal.