Alkitab Raja James
| Versi Raja James | |
|---|---|
| Nama penuh: | King James Version |
| Nama singkatan: | KJV |
| Alkitab penuh diterbitkan: | 1611 |
| Teks asas: | PL: Teks Masoret Apokrifa: Septuagint dan Vulgate PB: Textus Receptus |
| Versi disemak: | 1769 |
| Status hakcipta: | Domain awam |
Alkitab Raja James (King James Bible, KJB), juga dikenali sebagai Versi Raja James (King James Version, KJV) dan Versi Berkanun (Authorized Version, AV), ialah terjemahan Alkitab bahasa Inggeris Moden Awal untuk Gereja England, yang disuruhjayakan pada tahun 1604 dan diterbitkan pada 1611, di bawah tajaan Raja James VI dan I. 80 buku Alkitab Raja James termasuk 39 buku Perjanjian Lama, 14 buku Apokrifa, dan 27 buku Perjanjian Baru.
Terkenal dengan "gaya yang megah", Alkitab Raja James digambarkan sebagai salah satu buku paling penting dalam budaya Inggeris dan daya penggerak dalam pembentukan dunia berbahasa Inggeris. Alkitab Raja James kekal sebagai terjemahan pilihan ramai penganut Protestan, dan dianggap sebagai satu-satunya terjemahan yang sah oleh sesetengah Evangelis. Ia dianggap sebagai salah satu pencapaian sastera penting England moden awal.
KJV ialah terjemahan ketiga ke dalam bahasa Inggeris yang diluluskan oleh pihak berkuasa Gereja England: Yang pertama ialah Great Bible (1535), dan yang kedua ialah Bishops' Bible (1568). Di Switzerland, generasi pertama Reformasi Protestan telah menghasilkan Geneva Bible yang diterbitkan pada 1560 dengan merujuk kepada naskhah-nashkah suci Ibrani dan Yunani asal, yang berpengaruh dalam penulisan Alkitab Raja James Berkanun.
Gereja England pada mulanya menggunakan "Bishops' Bible" yang diluluskan secara rasmi, yang hampir tidak digunakan oleh penduduk. Lebih popular ialah "Geneva Bible", yang dicipta berdasarkan terjemahan Tyndale di Geneva di bawah pengganti langsung reformis John Calvin untuk para pengikutnya yang berbahasa Inggeris. Walau bagaimanapun, nota kaki mereka mengikut pandangan Puritanisme Calvinis yang terlalu radikal untuk James. Penterjemah Geneva Bible telah menterjemahkan perkataan raja sebagai penzalim (tyrant) kira-kira empat ratus kali, manakala perkataan itu hanya muncul tiga kali dalam KJV. Oleh sebab itu, sesetengah mendakwa bahawa Raja James sengaja meminta penterjemah menghilangkan perkataan itu, walaupun tiada bukti untuk menyokong dakwaan ini. Memandangkan perkataan "penzalim" tiada padanan dalam bahasa Ibrani kuno, tiada kes yang mana terjemahan itu diperlukan.
James mengadakan Persidangan Hampton Court pada Januari 1604, di mana versi bahasa Inggeris baru dicetuskan sebagai tindak balas kepada masalah terjemahan sebelumnya yang dilihat oleh Puritan, satu puak dalam Gereja England. James memberikan arahan kepada para penterjemah untuk memastikan versi baru itu mematuhi eklesiologi, dan mencerminkan struktur Episkopal, Gereja England dan kepercayaannya terhadap klerus yang ditahbiskan. Seperti kebanyakan terjemahan lain pada zaman itu, Perjanjian Baru diterjemahkan daripada Yunani, Perjanjian Lama daripada Ibrani dan Aramaik, dan Apokrifa daripada Yunani dan Latin. Dalam Book of Common Prayer 1662, teks Versi Berkanun menggantikan teks Great Bible untuk bacaan Surat dan Injil, dan dengan itu dikanunkan oleh Akta Parlimen.
Pada separuh pertama abad ke-18, Versi Berkanun telah menjadi satu-satunya terjemahan bahasa Inggeris yang digunakan dalam gereja-gereja Anglikan dan Protestan lain di England, kecuali untuk Mazmur dan beberapa petikan pendek dalam Book of Common Prayer Gereja England. Sepanjang abad ke-18, Versi Berkanun menggantikan Vulgata Latin sebagai versi standard kitab suci untuk sarjana berbahasa Inggeris. Dengan perkembangan percetakan stereotaip pada awal abad ke-19, versi Alkitab ini telah menjadi buku yang paling banyak dicetak dalam sejarah, hampir semua cetakan sedemikian memaparkan teks standard 1769, dan hampir selalu menggugurkan buku Apokrifa. Hari ini, gelaran "Alkitab Raja James" biasanya merujuk kepada teks standard Oxford ini.