Pualam
Pualam (Jawi: ڤوالم) atau alabaster (الابستر) ialah sejenis mineral dan batu lembut yang digunakan untuk ukiran dan juga sebagai sumber serbuk plaster. Ahli arkeologi, ahli geologi dan industri batu mempunyai takrifan yang berbeza bagi perkataan alabaster. Dalam bidang arkeologi, istilah alabaster merangkumi objek dan artifak yang diperbuat daripada dua jenis mineral yang berbeza: (i) jenis gipsum berbutir halus dan padat, dan (ii) jenis kalsit berbutir halus dan berjalur.
Dari segi kimia, gipsum ialah sulfat kalsium berhidrat, manakala kalsit ialah karbonat kalsium. Sebagai jenis pualam, gipsum dan kalsit mempunyai sifat yang serupa, seperti warna yang cerah, lut cahaya dan sifat batu yang lembut serta boleh diukir; justeru itu, kegunaan dan aplikasi sejarawi pualam untuk menghasilkan artifak ukiran dan objet d’art yang hiasan. Pualam kalsit juga dikenali sebagai marmar oniks, pualam Mesir dan pualam Timur, yang biasanya merujuk kepada batu travertin berjalur dan padat atau batu kapur stalagmit yang diwarnai dengan jaluran pusar krim dan perang.
Secara umum, pualam purba ialah kalsit di kawasan Timur Tengah yang luas, termasuk Mesir dan Mesopotamia, manakala di Eropah Zaman Pertengahan ia gipsum. Pualam moden berkemungkinan besar ialah kalsit tetapi mungkin juga salah satu daripada dua jenis tersebut. Kedua-duanya mudah diproses dan sedikit larut dalam air. Ia telah digunakan untuk menghasilkan pelbagai jenis karya seni dan ukiran dalaman kerana tidak tahan lama jika terdedah di luar rumah.
Kedua-dua jenis ini mudah dibezakan berdasarkan kekerasannya: pualam gipsum (kekerasan Mohs 1.5 hingga 2) begitu lembut sehingga boleh dicakar dengan kuku, manakala kalsit (kekerasan Mohs 3) tidak boleh dicakar dengan cara ini tetapi boleh dipotong dengan pisau. Selain itu, pualam kalsit, sebagai sejenis karbonat, akan berbuih apabila dirawat dengan asid hidroklorik manakala pualam gipsum hampir tidak terjejas langsung.