Revolusi Bunga Teluki

Revolusi Bunga Teluki (Portugis: Revolução dos Cravos, Bahasa Inggeris: Carnation Revolution) merupakan suatu kudeta pimpinan kelompok tentera berhaluan kiri yang berlangsung di Lisbon, Portugal pada 25 April 1974 (oleh itu turut digelar 25 de Abril, Portugis: vinte e cinco de Abril) lalu menyebabkan penggulingan pemerintahan Estado Novo di negara tersebut, seterusnya membawa kepada tindakan kuasa Portugis menarik diri daripada jajahan-jajahannya di benua Afrika. Nama revolusi ini merujuk kepada pemberian bunga teluki kepada para tentera sebagai tanda keamanan kerana revolusi yang langsung tidak menumpahkan setitis darahpun.

Peristiwa ini diperingati dan diraikan setiap tahun di Portugal dengan nama "Hari Kebebasan" pada 25 April, yang merupakan cuti umum di negara tersebut.