Perlembagaan Amerika Syarikat
Perlembagaan Amerika Syarikat (Bahasa Inggeris : Constitution of the United States) merupakan undang-undang tertinggi di Amerika Syarikat dan merupakan himpunan perlembagaan kebangsaan tertulis tertua yang masih digunakan. Perlembagaan ini menggantikan Piagam Persekutuan (Bahasa Inggeris : Articles of Confederation) iaitu perlembagaan pertama negara Amerika Syarikat, berkuat kuasa pada 4 Mac 1789.[a]
Pada asalnya, perlembagaan ini terdiri daripada 7 Perkara, yang menggariskan rangka-rangka dan tujuan penubuhan kerajaan. Tiga Perkara pertama di dalam perlembagaan ini membawa doktrin yang jelas mengenai doktrin pemisahan kuasa, di mana Kerajaan Persekutuan akan dipecahkan kepada tiga cabang utama, iaitu cabang Legislatif, terdiri daripada Kongres yang mempunyai dua dewan (Perkara I), cabang Eksekutif, terdiri daripada Presiden dan pegawai-pegawai yang dilantik (Perkara II), dan cabang Kehakiman, yang terdiri daripada Mahkamah Agung (Supreme Court) dan mahkamah-mahkamah persekutuan yang lain (Perkara III).
Perkara IV, Perkara V dan Perkara VI menjelaskan konsep Persekutuan atau Federalisme, menerangkan hak-hak dan tanggungjawab kerajaan negeri, negara-negara yang menjalinkan hubungan dengan kerajaan persekutuan, tatacara bersama dalam meminda perlembagaan. Perkara VII menggariskan tatacara yang perlu bagi sesebuah kerajaan negeri meratifikasi pindaan yang telah dilakukan berdasarkan tatacara dalam Perkara VI. Sehingga hari ini, Perlembagaan Amerika Syarikat merupakan perlembagaan bertulis tertua yang masih berkuat kuasa sebagai sebuah perlembagaan negara di dunia.
Proses merangka dan menyusun Perlembagaan ini, dilaksanakan dan disempurnakan melalui Persidangan Perlembagaan (Constitutional Convention) di Dewan Kemerdekaan (Independence Hall) di Philadelphia bermula 25 Mei 1787 sehingga 17 September 1787. Perwakilan-perwakilan ke persidangan tersebut dipilih oleh Dewan Legislatif yang merangkumi 12 daripada 13 negeri asal yang menyertai penubuhan Amerika Syarikat. Walaubagaimanapun, salah satu negeri tersebut iaitu Rhode Island menolak untuk menghantar wakil ke persidangan tersebut. Pada awalnya, ruang lingkup perbincangan persidangan tersebut terhad kepada meminda Piagam Persekutuan, yang mana dinilai oleh sebahagian besar negeri sebagai tidak berkesan dalam memenuhi keperluan negara yang masih baru ditubuhkan.
Namun, dalam situasi luar jangka, perwakilan-perwakilan yang hadir mula menimbang untuk memansuhkan Piagam Persekutuan dan menggantikan Piagam Persekutuan dengan dokumen lain. Rangka pertama telah dibentang oleh perwakilan daripada Virginia, yang mana mencadangkan sebuah Kongres yang terdiri daripada dua dewan ditubuhkan. Ahli-ahli dewan ini akan dipilih berdasarkan perkadaran bilangan penduduk sesebuah negeri, selain daripada memilih Ketua Eksekutif, dan melantik cabang kehakiman. Sebagai alternatif kepada Rangka Virginia (Virginia Plan), sebuah lagi rangka telah dibentangkan iaitu Rangka New Jersey (New Jersey Plan), yang turut merangkumi cadangan untuk memilih ahli eksekutif, walaupun dalam masa yang sama menyokong pengekalan struktur legislatif berdasarkan Piagam Persekutuan, yang hanya memiliki satu dewan dan setiap negeri diwakili dengan satu undi sahaja.
Pada 19 Jun 1787, perwakilan-perwakilan memilih untuk membantah Rangka New Jersey, di mana tiga negeri menyokong, tujuh negeri membantah dan satu negeri berkecuali. Kekalahan rangka ini telah membawa kepada pelbagai siri perbincangan yang memfokuskan kepada dua usul utama iaitu: perhambaan dan perwakilan berkadar. Usul pertama, perhambaan, telah memulakan tekanan yang jelas daripada Negeri-negeri Utara (Northern States), yang sudah mula memansuhkan konsep perhambaan di negeri-negeri tersebut sedangkan di Negeri-negeri Selatan (Southern States), ekonomi berteraskan pertanian yang amat bergantung kepada tenaga kerja manusia daripada golongan hamba.
Bagi memenuhi kepentingan Negeri-negeri Selatan, terutamanya Georgia dan South Carolina, para perwakilan bersetuju untuk melindungi perdagangan hamba selama 20 tahun. Selain itu, perhambaan juga dilindungi di mana sesebuah negeri dibenarkan untuk mengambil kira seseorang hamba sebagai tiga per lima dalam bancian penduduk, seterusnya digunakan sebagai bilangan rasmi penduduk dalam bancian kerajaan persekutuan. Dalam masa yang sama, mana-mana hamba yang melarikan diri, wajib dipulangkan kepada pemilik asal mereka walaupun ditangkap di dalam wilayah kawasan negeri yang telah memansuhkan perhambaan.
Akhirnya, para perwakilan telah mengguna pakai Kesepakatan Connecticut (Connecticut Compromise), yang mencadangkan penubuhan Kongres yang mengguna pakai perwakilan berkadar di dewan bawah, serta melaksanakan perwakilan setara di dewan atas (Dewan Senat) di mana setiap negeri akan diwakili oleh dua orang senator. Melalui kesepakatan ini, negeri-negeri dalam persekutuan mampu untuk terus kekal bersatu dan memudahkan ratifikasi Perlembagaan. Walaubagaimanapun, perhambaan terus berjalan selama enam dekad, dan negeri-negeri berpenduduk rendah terus mengahdapi masalah perwakilan berkadar yang tidak seimbang di Dewan Senat dan pengagihan Badan Pemilih (Electoral College).