Pelatihan anjing
Pelatihan anjing ialah sejenis pelatihan haiwan, penerapan analisis tingkah laku yang menggunakan peristiwa persekitaran bagi anteseden (pencetus untuk tingkah laku) dan akibat untuk mengubah suai tingkah laku anjing, sama ada supaya ia membantu dalam kegiatan spesifik atau melaksanakan tugas tertentu, atau supaya ia ikut serta secara berkesan dalam kehidupan domestik kontemporari. Walaupun pelatihan anjing untuk peranan spesifik bertarikh kembali ke zaman Rom sekurang-kurangnya, pelatihan anjing untuk menjadi haiwan peliharaan isi rumah serasi dimajukan dengan pembangunan pinggir bandar pada tahun 1950-an.
Anjing belajar daripada interaksi yang dialami olehnya dengan persekitarannya. Ini dapat berlaku melalui pelaziman klasik, bilamana ia membentuk perkaitan antara dua rangsangan; pembelajaran bukan perkaitan, bilamana tingkah lakunya diubah suai melalui pembiasaan atau pemekaan; dan pelaziman operan, bilamana ia membentuk perkaitan antara anteseden dengan akibatnya.
Kebanyakan anjing pekerja kini dilatih dengan menggunakan kaedah berasaskan ganjaran, yang kadang-kadang dirujuk sebagai pelatihan pengukuhan positif. Kaedah pelatihan lain berasaskan ganjaran termasuk pelatihan pengklik, pelatihan saingan model, dan pelatihan berasaskan hubungan.
Kaedah pelatihan yang menekankan hukuman termasuk kaedah Koehler, pelatihan elektronik (kolar renjatan), pelatihan berasaskan kedominanan, dan pelatihan seimbang. Penggunaan hukuman adalah berkontroversi kerana kedua-dua kemanusiaan dan keberkesanan dipersoalkan oleh ramai ahli behaviorisme. Tambahan pula, banyak kajian saintifik telah mendapati bahawa pelatihan berasaskan ganjaran adalah lebih berkesan dan kurang memudaratkan kepada hubungan pemilik–anjing berbanding dengan kaedah berasaskan hukuman.