Budaya korporat
Mengikut Cummings dan Worley (1993), budaya korporat ialah "pola andaian asas, nilai, norma dan artifak yang dikongsi oleh ahli-ahli sesuatu organisasi. Budaya korporat merupakan andaian-andaian kongsi yang orang beranggapan terhadap bagaimana kerja harus dilaksanakan dan dinilaikan, dan bagaimanapun pekerja-pekerja bergaul antara satu sama lain serta dengan pihak lain yang mustahak, seperti pembekal, pelanggan, dan agensi kerajaan".
Perkembangan ekonomi negara yang pesat serta permintaan yang tinggi terhadap daya pengeluaran dan kualiti perkhidmatan awam memaksa kerajaan memberikan perhatian terhadap konsep budaya korporat. Meskipun telah banyak kajian dan perbahasan dibuat ke atasnya, namun masih terdapat kekaburan mengenai konsep budaya khususnya apabila dikaitkan dengan organisasi korporat.
Berdasarkan kajian dan pemerhatian yang terperinci yang telah dijalankan, pihak pengurusan atasan yakin bahawa melalui penghayatan dan amalan ciri-ciri yang terdapat di dalam budaya korporat, pengamalan itu dapat mempertingkatkan kemampuan organisasi dalam memberikan perkhidmatan yang lebih berkualiti dan cemerlang.
Meskipun istilah budaya korporat sering diperkatakan, namun perbincangan dan kekeliruan masih wujud di dalam memahami istilah 'budaya' itu sendiri apabila istilah itu hendak dikaitkan dengan organisasi. Apa yang lebih menarik ialah bagaimana kita dapat mengadaptasikan konsep budaya korporat ke dalam 'budaya' di dalam sektor awam.