Lúnyǔ

Lun Yu
论语
Sekeping halaman
Umum
PengarangAnak-anak murid Kongzi
Tajuk asal
論語
NegaraChina
BahasaBahasa Cina Klasik
Teks asal
論語 di Wikisumber bahasa Cina
TerjemahanLun Yu
论语
di Wikisumber

Lúnyǔ (Aksara Cina: 論語 "Bicara Kata") ialah suatu kitab yang menghimpunkan kata dan buah fikiran yang dipetik hasil perbualan Kongzi, seorang pemikir bangsa Tionghua serta rakan sefahaman pada zamannya. Pembukuan kandungan buku ini dipercayai berlaku pada Zaman Negeri-Negeri Berperang (475–221 SM) sehingga dimutakhirkan pada pertengahan zaman dinasti Han (206 SM–220 TM).

Pada penghujung zaman kerajaan Song (960-1279), karya ini semakin dilihat sebagai suatu mahakarya falsafah Cina, dan ia diiktiraf sebagai salah satu "Empat Kitab" yang penting dalam ajaran bawaan Kongzi dan para pelajarnya. Buku ini telah menjadi salah satu buku pemikiran yang paling banyak dibaca dan dipelajari di China selama 2,000 tahun yang lalu, dan terus mempunyai pengaruh yang besar terhadap pemikiran dan nilai-nilai Cina dan Asia Timur pada hari ini.

Kongzi percaya bahawa kesejahteraan sesebuah negara bergantung kepada pemupukan moral rakyatnya bermula dari para pemimpin negara tersebut. Beliau percaya bahawa seseorang individu boleh mula memupuk kebajikan menyeluruh melalui 仁 ren (peri kemanusiaan), dan langkah paling asas dalam memupuk ren ialah kesetiaan kepada ibu bapa, terutamanya terhadap ibu bapa dan adik-beradik yang lebih tua. Beliau mengajar bahawa kehendak individu tidak perlu ditekan, sebaliknya seseorang itu harus dididik agar dapat mengimbangi keinginan melalui 禮 li (adat dan adab), yang membolehkan seseorang menunjukkan rasa hormat kepada orang lain dan memainkan peranan mereka dalam masyarakat dengan bertanggungjawab. Kongzi turut percaya bahawa asas utama seseorang pemerintah ialah 德 de atau ‘kebajikan’.

Matlamat utama Kongzi dalam mendidik para muridnya ialah untuk menghasilkan individu beretika tinggi yang membawa diri dengan wibawa, bertutur dengan betul, dan memperlihatkan integriti yang sempurna dalam segala perbuatan.