Zealandia
Zealandia (dalam bahasa Māori: Te Riu-a-Māui "Lembah/Badan Perahu Māui") atau Tasmantis adalah suatu daratan besar berupa benua yang separa tenggelam berikutan pemisahan kerak benua dari Gondwana antara 83–79 juta tahun yang lalu. Sebahagian besar daratan ini (94%) tenggelam di bawah Lautan Pasifik manakala yang selebihnya membentuk pulau-pulau New Zealand yang terbesar diikuti oleh Nouvelle-Caledonie.
Kefahaman mengenai daratan ini mula diusulkan oleh saintis Amerika Syarikat Bruce Luyendyk pada tahun 1995, pengimejan satelit yang berikutan menunjukkan daratan diusulkan ini kelihatan hampir seukuran Australia. Kajian pada tahun 2021 menunjukkan bahawa daratan tua ini berusia 1 bilion tahun yakni kira-kira dua kali lebih awal daripada yang difikirkan oleh ahli geologi sebelumnya.