Val Kilmer

Val Kilmer
Kilmer di Festival Filem Cannes 2005
Kelahiran
Val Edward Kilmer

(1959-12-31)31 Disember 1959
Meninggal dunia1 April 2025(2025-04-01) (umur 65)
Los Angeles, California, A.S.
PendidikanSekolah Juilliard (BFA)
PekerjaanPelakon, pemuzik, pelukis
Tahun aktif1981–2025
Ketinggian182 cm (6 ka 0 in)
PasanganJoanne Whalley
(k. 1988; c. 1996)
Anak-anak2, termasuk Jack Kilmer
Laman web rasmivalkilmer.com

Val Edward Kilmer (31 Disember 1959 – 1 April 2025) ialah seorang pelakon Amerika Syarikat. Kilmer memulakan kerjaya sebagai pelakon pentas sebelum mencapai kemasyhuran dalam filem pelbagai genre termasuk komedi, drama, aksi pengembaraan, barat, drama jenayah dan fantasi.

Kilmer memulakan kerjaya filemnya dengan membintangi filem komedi Top Secret! (1984) dan Real Genius (1985). Kilmer kemudian beralih kepada filem bergenre drama dan mula meraih populariti selepas membawa watak Iceman dalam Top Gun (1986), Jim Morrison dalam The Doors (1991) serta Batman dalam Batman Forever (1995). Kilmer juga memikat penonton melalui lakonannya dalam Willow (1988), Tombstone (1993), True Romance (1993) dan Heat (1995). Kilmer terus aktif dalam dunia perfileman dengan membintangi The Island of Dr. Moreau (1996), The Ghost and the Darkness (1996), The Saint (1997), The Prince of Egypt (1998), Alexander (2004), Kiss Kiss Bang Bang (2005), dan The Snowman (2017). Kilmer membuat kemunculan terakhir dalam Top Gun: Maverick (2022).

Kilmer muncul sebagai salah seorang pelakon dengan bayaran tertinggi pada tahun 1990-an. Filem-filem lakonannya berjaya mengutip lebih AS$3.7 bilion di seluruh dunia. Pada tahun 1992, pengkritik filem, Roger Ebert, mengiktiraf bakat Kilmer dengan berkata, "jika terdapat anugerah untuk pelakon utama paling tidak didendang dalam generasinya, Kilmer seharusnya menerimanya."

Pada tahun 2020, Kilmer menerbitkan memoir bertajuk I'm Your Huckleberry: A Memoir. Pada tahun berikutnya, Festival Filem Cannes menayangkan filem dokumentari Val (2021) yang mengisahkan perjuangan Kilmer melawan penyakit serta perjalanan kerjayanya. Filem itu menerima pujian meluas dan memenangi dua Anugerah Dokumentari Critics' Choice.

Pada tahun 2015, doktor mengesahkan Kilmer menghidap kanser tekak. Kilmer menjalani prosedur trakea yang menjejaskan pita suaranya dan menyebabkan kesukaran bercakap. Kilmer turut menjalani kemoterapi serta dua trakeotomi sebelum meninggal dunia akibat radang paru-paru pada tahun 2025.