Vaksin demam kuning
Vaksin demam kuning merupakan vaksin yang melindungi daripada demam kuning. Demam kuning merupakan jangkitan virus yang berlaku di Afrika dan Amerika Selatan. Kira-kira 99% individu mendapat imuniti dalam tempoh satu bulan selepas pemvaksinan dan imuniti ini nampaknya kekal sepanjang hayat. Vaksin ini boleh digunakan untuk mengawal wabak penyakit demam kuning. Ia diberikan sama ada dengan suntikan ke dalam otot atau di bawah kulit.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan pengimunisasi rutin di semua negara tempat penyakit ini biasa ditemui. Pengimunisasi biasanya perlu dilakukan semasa umur antara sembilan hingga dua belas bulan. Mereka yang berkunjung ke kawasan tempat penyakit ini berlaku juga perlu diimunkan. Dos tambahan selepas dos pertama biasanya tidak diperlukan.
Secara amnya, vaksin demam kuning adalah selamat. Ini termasuk bagi mereka yang menghidap jangkitan HIV tetapi tanpa simptom. Kesan sampingan yang sederhana mungkin melibatkan sakit kepala, sakit otot, sakit pada tempat suntikan, demam, dan ruam. Alergi yang teruk berlaku dalam kira-kira lapan sejuta dos, masalah neurologi yang serius berlaku dalam kira-kira empat sejuta dos, dan kegagalan organ berlaku dalam kira-kira tiga sejuta dos. Vaksin ini kemungkinan selamat digunakan semasa hamil dan oleh itu, ia disyorkan kepada mereka yang mungkin terdedah kepada penyakit ini. Ia tidak boleh diberikan kepada mereka yang mempunyai fungsi imun yang sangat lemah.
Vaksin demam kuning mula-mula digunakan pada tahun 1938. Ia tersenarai dalam Senarai Ubat Penting Pertubuhan Kesihatan Sedunia, iaitu ubat paling penting yang diperlukan dalam sistem kesihatan asas. Harga borong vaksin ini setakat tahun 2014 ialah antara 4.30 hingga 21.30 dolar Amerika sedos. Di Amerika Syarikat, harganya ialah antara 50 hingga 100 dolar Amerika. Vaksin ini diperbuat daripada virus demam kuning yang dilemahkan.