Ufti

Ufti (daripada Jawi: اوفتي, daripada Sanskrit उत्पत्ति utpatti, “keuntungan, produktiviti”) ialah harta, selalunya dalam bentuk barangan, yang diberikan oleh satu pihak kepada pihak lain sebagai tanda ketundukan, kesetiaan atau penghormatan. Pelbagai negara purba telah mengenakan ufti daripada pemerintah tanah yang ditakluki oleh negara tersebut. Dalam hal perikatan, pihak yang lebih kecil mungkin membayar ufti kepada pihak yang lebih berkuasa sebagai tanda kesetiaan. Ufti berbeza daripada cukai kerana ia tidak dipungut secara rutin tetap seperti cukai. Selain itu, ufti juga mesti menunjukkan pengakuan tunduk politik daripada pihak yang memberi kepada pihak yang menerima.