Pengisar injakan
Pengisar injakan, sawat injak atau treadmill adalah suatu alat yang membolehkan sesuatu hidupan (baik haiwan atau manusia) berjalan, berlari atau mendaki tanpa berganjak dari kedudukan asal. Tenaga yang terjana dan terkumpul daripada pergerakan berulang ini lazim dipergunakan untuk melakukan kerja-kerja seharian yang memerlukan kuasa banyak sebelum adanya mesin yang lebih canggih.
Alat ini mula difikirkan sejak abad ke-1 Masihi di Rom Purba. Alat-alat ini pada awalnya digunakan untuk mengerjakan serta mengolah tuaian ladang sama ada untuk tujuan pembersihan atau penghasilan dalam bentuk lain. Mekanisme sebegini kemudiannya dilanjutkan untuk mengerahkan banduan-banduan penjara yang dihukum kerja buruh. Pada zaman moden, ia kini khusus digunakan untuk tujuan senaman – alat-alat lebih canggih ini dijanakan sendiri daripada pemasangan motor elektrik atau roda tenaga yang mengalirkan tenaga kepada suatu tali sawat.