The Phantom of the Opera (teater muzikal)
The Phantom of the Opera ialah sebuah teater muzikal digubah Andrew Lloyd Webber dengan senikata nukilan Charles Hart dan libreto ditulis bersama Richard Stilgoe dan Lloyd Webber. Ia merupakan adaptasi novel Le Fantôme de l'Opéra karya Gaston Leroux yang mengisahkan kejadian misteri aneh dan menakutkan yang berlaku dalam Balai Opera Paris.
Ia mula dipentaskan di balai Her Majesty's Theatre West End, London pada tahun 1986 dan di teater Broadway pada tahun 1988. Ia memenangi Anugerah Olivier 1986 serta Anugerah Tony 1988 untuk kategori Muzikal Terbaik dan Pelakon Terbaik (dipegang Michael Crawford). Ia merupakan pementasan paling lama diadakan di Broadway dengan sebanyak 10,000 kali diadakan setakat 11 Februari 2012. Ia turut merupakan pementasan kedua paling lama diadakan di West End selepas Les Misérables.