The Loaf

Pada tahun 2006, cawangan pertama The Loaf dibuka di Telaga Harbour, Langkawi, Malaysia. Penubuhan kedai bakeri ini antara lain merupakan sebahagian daripada rancangan persaraan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad. Ia kemudian berkembang sehingga 12 cawangan antaranya di pusat beli belah KLCC, Pavilion dan Sogo di Kuala Lumpur dan Empire Shopping Gallery, Subang Jaya. The Loaf diuruskan oleh M&M Consolidated Sdn Bhd, usaha sama di antara Mahathir dan Motoko Resources Sdn Bhd.

Pada April 2018, The Loaf menutup perniagaannya selepas 12 tahun beroperasi. Penutupan itu disiarkan menerusi satu notis yang dimuatnaik dalam media sosial bertarikh 9 April lalu yang ditujukan khusus untuk pelanggan mereka. Mahathir menafikan memiliki saham dalam The Loaf dan berkata beliau hanya mempunyai 200 unit saham dalam sebuah syarikat tembakau dan Permodalan Nasional Berhad (PNB). Namun, beliau kemudian mengakui mempunyai pegangan dalam The Loaf, dan menjelaskan bahawa beliau pada asalnya berhasrat memindahkan perniagaan itu kepada pihak lain bagi memperoleh dana kempen Pilihan Raya Umum ke-14, namun usaha tersebut gagal kerana tiada pembeli yang sanggup mengambil alih, sehingga The Loaf terpaksa ditutup.

Pada April 2019, The Loaf telah dibuka semula pemilik barunya, syarikat pembinaan Ekovest bhd. Pengerusi Eksekutif Ekovest Lim Kang Hoo berkata keputusan untuk menghidupkan semula jenama tersebut dilakukan melalui syarikat milik penuhnya, Duke Dining Sdn Bhd, dengan membeli kesemua kepentingan The Loaf. Daripada 12 cawangan tersebut, setakat ini Ekovest telah membuka semula empat kedai The Loaf iaitu cawangan di Langkawi, Pavilion, Sunway Pyramid dan Nu Sentral.