Tetragramaton

Tetragramaton (daripada Yunani Kuno τετραγράμματον, bermaksud "[terdiri daripada] empat huruf"; Jawi: تتراڬراماتون) ialah salah satu nama Tuhan dalam Alkitab Yahudi yang ditulis dengan empat huruf, יהוה. Empat huruf Tetragramaton yang dieja dan dibaca dari kanan ke kiri dalam tulisan Ibrani ialah י (yod) ה (he) ו (vav) ה (he) atau יהוה (YHWH). Nama ini mungkin adalah terbitan kata kerja "jadi", "wujud", sebabkan menjadi", atau "berlaku". Nama peribadi bagi Tuhan orang Israel ini juga dilafazkan sebagai Yahweh dan juga Yehovah/Jehovah/Yehuwa. Di dalam Alkitab Malaysia, seperti Alkitab Versi Borneo dan Alkitab Berita Baik, ia digayakan menjadi Tuhan.

Kitab-kitab daripada Taurat dan Alkitab Ibrani, kecuali Ester, Pengkhutbah dan Kidung Agung (jika mengambil kira bentuk pendek יה‎ 'Yah' dalam ayat 8:6) ada menggunakan nama Ibrani ini. Penganut Yahudi yang bertakwa dan mengikut tradisi membaca Talmud tidak akan menyebut יהוה ataupun melafazkan bentuk alih tulisnya seperti Yahweh atau Yehovah; mereka sebaliknya akan menggantikan nama tersebut dengan kata ganti nama lain Tuhan, tidak kira jika hendak bercakap dengan atau hanya bercakap tentang Tuhan bani Israel. Antara kata ganti nama yang lain dalam Ibrani ialah אֲדֹנָי (Adonai, terj. harf. Tuhan-tuhanku, bentuk jamak digunakan sebagai tunggal untuk menunjukkan kebesaran yang diujarkan) atau Elohim (secara harfiah "tuhan-tuhan" tetapi dianggap sebagai tunggal apabila memaksudkan "Tuhan") dalam doa, atau ha-Syem ("Sang Nama" atau "Nama-Nya") dalam percakapan seharian.