Tengku mahkota

Tengku mahkota ialah sebuah perkataan Melayu yang menunjukkan gelaran untuk anak raja di sesebuah negeri di Malaysia yang bakal menjadi ketua negeri. Secara tradisi, tengku mahkota yang dilantik ialah putera sulung sultan memerintah. Walau bagaimanapun, ia berbeza di beberapa buah negeri, atau sekiranya berhadapan dengan kes tertentu seperti ketiadaan putera dari sultan pemerintah. Penggunaan gelaran bagi pewaris takhta juga pelbagai. Selain tengku mahkota, gelaran seperti raja muda, tunku mahkota, yang di-pertuan muda, tengku besar atau sultan muda juga digunakan. Ada juga negeri yang melantik sekumpulan putera sebagai pewaris takhta.